Jangan ambil pemain import berdasarkan video YouTube saja – Dickson Nwakaeme
Bekas penyerang terbaik sepanjang zaman Sri Pahang FC, Dickson Nwakaeme mengakui barisan pemain import yang ada ketika ini tidak cukup bagus.
Menurut Dickson, pemain import yang ada ketika ini tidak memberikan impak langsung kepada pasukan dan bukannya salah ketua jurulatih Christophe Gamel.
“Kesemua pemain import tidak bagus langsung untuk Pahang dan bukan salah ketua jurulatih. Pihak pengurusan perlu mencari pemain import yang bagus tetapi jangan hanya melihat video di YouTube sahaja.
Ini kerana sesetengah pemain akan menghantar video lama dan mereka hanya mahukan wang dan bercuti di Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada masa sama Dickson yang dikenali dengan nama jolokan Orang Besi turut meluahkan rasa kesalnya apabila pihak pengurusan tidak mengambil peduli langsung dengan pandangannya walaupun beliau pernah bermesyuarat dengan pengurusan Sri Pahang sebelum ini.
Tambahnya lagi, agak merugikan apabila skuad Tok Gajah kini dalam situasi goyah sedangkan mereka mempunyai corak permainan yang menarik.
Jelasnya lagi, Azam Azih dan Muslim Ahmad memerlukan bantuan daripada pemain import yang berkualiti untuk memberi mereka peluang untuk bersaing dalam liga.
Dalam pada itu, Dickson turut mempertikaikan keputusan Sri Pahang yang sering menukar ketua jurulatih apabila pasukan tidak mempamerkan aksi cemerlang.
“Selalu macam itu, tukar ketua jurulatih banyak kali, buang masa dan duit sahaja. Mengapa tidak berbelanja cari pemain import yang berkualiti untuk bantu pasukan dan bermain bersungguh-sungguh.”
Sementara itu, Dickson juga berkata tidak semua pemain import yang boleh bermain dalam saingan Liga Malaysia, oleh itu setiap pihak pengurusan perlu berhati-hati dalam memilih pemain import supaya mereka tidak ditipu.
Ketika ini Sri Pahang berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super selepas tiga perlawanan apabila mereka seri sekali dan tewas dua kali.