Shahrul Saad puas hati dapat balas dendam dengan Ulsan Hyundai
Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad meluahkan rasa puas hatinya apabila pasukannya berjaya menumpaskan juara bertahan AFC Champions League (ACL) Ulsan Hyundai 2-1 sebentar tadi.
Shahrul berkata demikian kerana pada tahun 2018 ketika beliau menyarung jersi Perak FC, pasukannya tumpas di tangan Ulsan 5-1 ketika perlawanan play-off ACL.
“Saya memang tak boleh lupakan kekalahan ketika saya bermain bersama bekas pasukan saya Perak dan malam ini saya sangat berpuas hati dapat membalas dendam.
Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia adalah penampilan kedua saya di ACL,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu, aksi perlawanan kedua Kumpulan I menjadi perhatian berikutan Ulsan tampil dengan rekod lapan kemenangan berturut-turut di K- League.
JDT kini berada di puncak kumpulan dengan enam mata bakal berdepan dengan sebuah lagi pasukan gergasi iaitu Kawasaki Frontale.
Pada perlawanan sebelah petang, gergasi dari Jepun itu membelasah pasukan Guangzhou FC 8-0.
Dalam pada itu, Shahrul yang dikenali dengan panggilan Badak berkata beliau dan rakan sepasukan mahu mencipta sejarah apabila bertemu dengan Kawasaki Frontale pada 21 April ini.
“Saya tak pasti kita akan menang dengan berapa jaringan, tetapi apa yang pasti kami berikan yang terbaik dan gunakan kelebihan bermain di tempat sendiri.”