Tak bagus asyik tukar jurulatih bila tak dapat keputusan baik – Christophe Gamel

4,037

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel kini menjadi perhatian ramai peminat Liga Malaysia berikutan ramai yang menjangkakan khidmatnya tidak akan bertahan lama berikutan prestasi hambar yang dipamerkan skuadnya.

Menyedari perkara itu, Gamel berkata beliau tidak tahu samada ia adalah budaya di Liga Malaysia atau tidak kerana baginya perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.


“Tak bagus asyik tukar jurulatih bila tak dapat keputusan baik. Saya tak tahu ia budaya di sini atau tidak tetapi jika tak silap saya pada musim lalu pasukan ini kalah enam ke tujuh perlawanan berturut-turut tetapi tiada pertukaran jurulatih pun.

Kenapa perlu bezakan jurulatih tempatan dan luar negara? Saya tahu sebagai jurulatih luar, saya mempunyai masa yang singkat untuk beri keputusan baik. Bagaimanapun setakat ini pihak pengurusan tidak beri saya tekanan tetapi saya faham mereka mahukan keputusan baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Gamel lagi, beliau sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana baginya beliau hanya akan fokus pada kerjanya dan biarkan pihak pengurusan yang tentukan nasibnya di Sri Pahang.

Gamel turut mengulas mengenai kenyataan bekas penyerang sensasi Tok Gajah iaitu Dickson Nwakaeme yang mengkritik pemain-pemain import Sri Pahang pada musim ini yang dikatakan tidak berkualiti.

“Dickson boleh berkata apa sahaja kerana beliau tidak tahu apa yang berlaku dalam pasukan ini. Memang senang untuk kita bercakap apabila kita berada jauh tetapi beliau tidak berada dalam pengurusan pasukan.”

Jelasnya lagi, pemain-pemain import yang dibawa masuk mempamerkan prestasi yang baik cuma mereka perlukan sedikit masa lagi untuk pamerkan aksi sebenar mereka.

Dalam pada itu, Gamel turut menjawab persoalan ramai apabila kelibat pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero sehingga kini masih lagi belum kelihatan.

Perkara itu berlaku kerana proses naturalisasi masih lagi belum selesai oleh itu kedua-dua pemain itu tidak dapat diturunkan lagi buat masa ini.

Selain fokus pada skuad utama, Gamel turut berkata beliau kini bekerjasama dengan ketua jurulatih Piala Presiden Sri Pahang untuk menggunakan falsafah yang sama supaya pemain-pemain ini akan bersedia apabila dipanggil untuk sertai skuad utama.

Sementara itu, Gamel mempunyai pandangan berbeza mengenai isu yang berlaku kepada ketua jurulatih Sri Pahang sebelum ini iaitu Thomas Dooley dan ketua jurulatih Melaka United FC, Risto Vidakovic baru-baru ini yang dipecat berikutan terlalu lantang mengkritik pihak pengurusan secara terbuka.

“Pandangan peribadi saya mengenai perkara ini adalah sekiranya masalah itu adalah masalah dalaman, maka ia perlu diselesaikan secara dalaman bersama.”

Gamel pada masa sama turut mendedahkan hubungannya dengan pihak pengurusan Sri Pahang terutamanya pengurus pasukan Dollah Salleh baik-baik sahaja.

Beliau bagaimanapun sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan tidak akan berasa ralat sekiranya digantikan kerana baginya jika ada jurulatih yang lebih baik daripadanya, beliau akan berundur demi kebaikan Sri Pahang.

Ketika ini Sri Pahang berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super selepas tiga perlawanan apabila mereka seri sekali dan tewas dua kali.