Tak semestinya menang kelayakan dapat layak ke Sukan SEA
Pemain E-Sports dari Orange Esports Team, Darren ‘RippedJeannn’ Gan tampil menjawab dakwaan kononnya terdapat campur tangan pihak ketiga dalam pemilihan pemain untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA, Hanoi, Mei depan.
Menurut Darren, beliau tidak menafikan sememangnya ada pertandingan kelayakan bagi memilih pemain FIFA untuk ke Sukan SEA tetapi tidak semestinya pemenang akan dipilih secara terus.
“Sebelum ini saya dimaklumkan sesiapa yang masuk pertandingan kelayakan ini belum pasti lagi akan dipilih walaupun menang, sebaliknya pemenang akan dapat peluang nama dalam senarai pendek.
Saya rasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan E-Sports Malaysia (MESF) ada rancangan tersendiri kenapa mereka membuat keputusan itu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Susulan itu, Darren tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ia di luar bidangnya untuk memberi sebarang kenyataan.
Pada masa sama Darren berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh MESF dan akan akur sekiranya dirinya tidak terpilih.
Dalam pada itu, ditanya mengenai persiapan untuk menghadapi Sukan SEA pada bulan hadapan, Darren berkata beliau kini membuat persedian sendiri dengan berlatih FIFA server Thailand berikutan Malaysia masih tidak ada.
“Memandangkan saya berada di Thailand, jadi saya berlatih dengan server FIFA di Thailand memandangkan Malaysia sendiri pun tak ada. Rakan-rakan lain juga ada membuat latihan mereka sendiri dan mereka juga ada perancangan tersendiri.”
Bagaimanapun mereka kadang-kala turut berlatih bersama-sama bagi memastikan keserasian antara rakan sepasukan.
Sementara itu, Darren memberitahu untuk temasya Sukan SEA ini, mereka menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.