Prestasi tak konsisten, bagaimana Kedah nak harungi saingan Piala AFC?

1,135

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan apabila berjaya meraih kemenangan.

Bagaimanapun rentak kemenangan Kedah tersentap apabila mereka tewas mengejut kepada Selangor dengan jaringan 4-1 dan semalam sekali lagi mereka tumpas di tangan Sabah FC 4-0.


Keputusan terbaru ini nyata mencetuskan keresahan dikalangan peminat terhadap rotasi pemain dan taktikal yang digunakan oleh ketua jurulatih Aidil Sahrin Sahak yang dilihat seperti masih lagi cuba bereksperimentasi biarpun saingan liga sudah bermula.

Sememangnya setiap percaturan dibuat oleh ketua jurulatih untuk setiap perlawanan tetapi apa yang membuat penyokong tertanya-tanya adalah sebab kukuh mengapa beliau berbuat demikian.

Antara paling ketara adalah rotasi penjaga gol di antara Shahril Saa’ri, Ilham Amirullah dan Ifwat Akmal.

Selalunya posisi penjaga gol merupakan satu-satunya posisi yang amat jarang ditukar kerana mahu mengekalkan konsistensi penjaga gol utama.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Tetapi berbeza pula dengan percaturan Aidil yang dilihat kerap menukar penjaga gol. Pada perlawanan awal beliau menurunkan Shahril, bagaimanapun untuk perlawanan pusingan pertama Piala FA beliau menurunkan Ilham.

Peluang yang diberikan Aidil kepada Ilham tidak dipersia-siakan apabila beliau mempamerkan aksi mantap.

Sejak dari itu, Aidil sering menurunkan Ilham untuk perlawanan Liga Super tetapi ia tidak bertahan lama apabila beliau kembali menurunkan Ifwat Akmal.

Ketika perlawanan menentang Sabah, Ifwat mengalami kecederaan dan Aidil memasukkan Ilham sebagai penjaga gol gantian yang menyebabkan Kedah tumpas di Likas.

Bukan rotasi penjaga gol sahaja menjadi tanda tanya, tetapi juga rotasi pemain di posisi lain turut membuatkan penyokong tertanya-tanya.

Sehingga kini rasanya Kedah tidak mempunyai pemain kesebelasan utama kerana Aidil kerap membuat pertukaran pemain untuk kesebelasan utama.

Mungkin Aidil cuba untuk memberi peluang kepada semua pemainnya, tetapi percaturan seperti ini tidak boleh kerap dibuat terutamanya apabila saingan liga sudah bermula kerana ia akan membuatkan prestasi pasukan tidak konsisten.

Prestasi tidak menentu skuad Sang Kenari ketika ini nyata membuatkan penyokong bimbang kerana pada tahun ini mereka akan beraksi dalam saingan Piala AFC pada Jun depan.

Kedah yang diundi dalam Kumpulan G akan menyaksikan mereka bermain secara berpusat di Indonesia yang mana mereka akan menentang Bali United dalam perlawanan pertama sebelum menentang Kaya FC dan Visakha.

Jika Aidil tidak melakukan sesuatu dalam masa terdekat ini, Kedah bakal berdepan kesukaran sepanjang kempen Piala AFC kelak.