Pasukan di Liga Malaysia patut contohi cara pengurusan Kelantan FC

7,889

Boleh dikatakan 80 peratus pasukan dalam saingan Liga Malaysia ini masih lagi bergelut untuk menswastakan sekaligus tiada lagi kaitan dengan kerajaan negeri.

Syarat baru yang dikenakan oleh Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ternyata telah menyebabkan banyak pasukan yang berdepan masalah terutamanya dari segi kewangan.


Ketika ini hanya beberapa pasukan sahaja dilihat benar-benar swasta sepenuhnya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), PJ City FC, Kelantan FC dan beberapa lagi yang mana sehingga kini mereka bebas dari sebarang isu terutamanya membabitkan masalah gaji.

Namun pengurusan Kelantan FC antara yang sangat menonjol kerana mereka adalah bukti yang sesebuah pasukan bola sepak mampu diuruskan sekiranya ia diurus secara telus.

Walaupun bermain di Liga Perdana, namun cara pengurusan yang profesional oleh pemiliknya Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham seperti satu tamparan hebat buat pasukan-pasukan di Liga Super yang masih berdepan kekangan kewangan.

Terbaru Zamsaham telah mengeluarkan satu kenyataan yang mana beliau telah menjanjikan habuan lumayan buat ketua jurulatih dan pemain-pemain sekiranya mereka berjaya jadi juara Liga Perdana musim ini.

Dalam kenyataan itu, beliau menjanjikan tanah log banglo kepada Rezal Zambery dan beberapa yang lain, manakala pemain pula akan menerima bonus.

Sehingga kini hanya pasukan Kelantan sahaja sering menjanjikan habuan kepada jurulatih dan pemain sekiranya mereka berjaya mencapai sasaran yang ditetapkannya.

Tahun lalu, Zamsaham telah janji akan menghadiahkan kereta Porsche kepada Rezal sekiranya beliau berjaya membawa pasukan Kelantan mara ke peringkat akhir saingan Piala Malaysia, bagaimanapun sasaran itu tidak berjaya dicapai.

Apa yang dilakukan oleh Zamsaham adalah satu contoh yang baik dan perlu diikut oleh pasukan-pasukan lain yang bergelut untuk menguruskan sesebuah pasukan bola sepak.

Faktor utama untuk uruskan sebuah pasukan bola sepak sudah semestinya pemiliknya perlu berstatus jutawan dan paling penting mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan bola sepak.

Selain itu, pemilik juga perlu bijak dalam perbelanjaan pemain dan hanya mengambil pemain berkualiti mengikut bajet yang ada atau orang tua-tua cakap ‘ukur baju di badan sendiri lah’.

Ia perlu dibuat kerana mahu memastikan tiada masalah gaji timbul kelak apabila mereka tidak mampu bayar gaji berikutan gaji pemain yang terlalu tinggi.

Pada masa sama pengurusan pasukan juga perlu elak dari sebarang salah laku terutamanya penyelewengan dana yang sering berlaku tanpa diketahui ramai.

Jadi, jika mahu kendalikan sebuah pasukan bola sepak yang bukan sahaja dapat kekal dalam saingan tetapi juga dapat menjana pendapatan.