Terengganu FC enggan lepaskan 9 pemain sertai kem latihan negara

3,225

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh menegaskan bahawa pihaknya tidak akan melepaskan sembilan pemainnya yang dipanggil untuk menjalani latihan berpusat untuk skuad B-23 negara bagi menghadapi temasya Sukan SEA Hanoi bulan depan.

“Jikalau ditanya saya secara peribadi sememangnya bangga apabila sembilan pemain TFC terpilih tetapi demi pasukan pihak kami mengambil keputusan tidak bersetuju untuk melepaskan semua pemain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Rasid Jusoh, mereka kini kekurangan pemain dek kecederaan dan setiap daripada mereka seperti pemain, jurulatih termasuk dirinya mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), jadi mereka perlu pastikan ia dapat dipenuhi untuk musim ini.


Pada masa sama beliau turut meluahkan rasa terkilan keputusan yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL).

“Bukan saya marah atau tidak puas hati tetapi cara dan kaedah penjadualan semula liga…kalau kita ambil kira dari segi aspek sains sukan, pemain akan berehat panjang iaitu selama 52 hari dan ia pasti akan menjejaskan prestasi pemain.

Tempoh yang panjang itu seperti satu tempoh pra musim yang baru. Jadi kita kena adakah perlawanan persahabatan. Nak buat perlawanan persabahatan pula ia akan memakan modal yang besar berikutan kebanyakkan kelab di Lembah Klang tetapi jadual kelab-kelab tersebut pula berjalan seperti biasa, jadi sukar untuk kami.

Oleh itu cadangan saya adalah MFL perlu bersikap adil iaitu jika perlawanan TFC ditunda, semua perlawanan Liga Malaysia perlu ditunda, sekaligus mengurangkan rasa tidak adil.”

Susulan itu, Rasid Jusoh berkata pihaknya telah menghantar surat rayuan supaya pihak MFL dapat meneliti semula penjadualan liga.