MFL tak bincang pun dengan pihak kami nak tunda perlawanan – CEO TFC

1,987

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh mendedahkan bahawa Malaysian Football League (MFL) tidak berbincang langsung dengan pihaknya untuk menunda perlawanan liga pasukannya.

Sebaliknya MFL secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah membuat keputusan untuk menunda perlawanan TFC bagi memberi ruang kepada pasukan itu melepaskan pemain mereka untuk menyertai latihan berpusat untuk skuad B-23 bagi menghadapi temasya Sukan SEA Hanoi pada Mei depan.


“Tidak sama sekali. Sebelum ini pada mesyuarat pada awal-awal dahulu dia (MFL) minta persetujuan bahawa jadual liga tertakluk kepada pindaan dan bukannya keputusan veto.

Kita perlu bincang dan saya percaya semua kelab bersetuju bahawa tahun ini kita amat jarang bermesyuarat berbanding tahun-tahun sebelumnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, keputusan MFL ini membuatkan pihaknya (TFC) berasa menjadi mangsa dan tidak dihormati apabila keputusan yang dibuat tidak dibincangkan bersama tuan empunya badan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keputusan TFC untuk tidak melepaskan pemain-pemainnya kerana mereka kekurangan pemain dek kecederaan selain baru sahaja mendapat momentum.

“Kita dapat lihat TFC bermula perlawanan lewat berikutan perlawanan ditunda akibat COVID-19. Ketika itu motivasi pemain merudum menyaksikan kami tumpas pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun apabila kami mula mendapat momentum dan rentak kemenangan perkara ini terjadi pula. Saya pasti untuk mendapatkan semula momentum apabila pemain kembali beraksi nanti menjadi sukar seperti sebelum ini.”

Rasid Jusoh berharap agar pihak MFL dapat bertindak secara adil di mana jika mereka boleh menunda perlawanan TFC, maka mereka perlu tunda keseluruhan liga sehingga semuanya selesai.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar MFL membuat perubahan jadual liga seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu satu perlawanan di tempat sendiri dan satu perlawanan di tempat lawan.

Beliau berkata demikian kerana TFC sendiri terpaksa bermain beberapa perlawanan di tempat lawan berturut-turut.

TFC menjadi salah satu pasukan yang paling ramai pemainnya dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya iaitu sebanyak sembilan pemain.