Harap Vincent Tan dapat bawa lebih ramai pemain muda Malaysia bermain di luar negara
Walaupun Tan Sri Vincent Tan adalah seorang ahli perniagaan yang cukup berjaya di peringkat antarabangsa, namun tiada siapa boleh menafikan cintanya terhadap sukan bola sepak.
Ia telah dibuktikan apabila beliau sendiri mempunyai beberapa kelab bola sepak di luar negara ataranya Cardiff City FC, FK Sarajevo, K.V. Kortrijk, Los Angeles FC dan Harnas 31 Group FC.
Biarpun kelab-kelabnya berpengkalan di luar negara, tetapi semangat patriotiknya tidak pernah pudar apabila beliau membawa penyerang muda tempatan Luqman Hakim untuk bermain di Kortrijk di Liga Belgium.
Selepas lebih setahun di sana, Luqman kini sudah pun memperlihatkan peningkatan prestasi apabila namanya sering kali tersenarai dalam senarai pemain gantian pemain skuad utama.
Terbaru pemain kacukan negara Jaami Qureshi yang bermain untuk Brighton & Hove Albion dilaporkan sedang menjalani ujian bersama Cardiff apabila pemain itu diturunkan dalam skuad Cardiff B-23 ketika menentang Coventry City.
Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya mengapa Vincent Tan tidak mempunyai kelab bola sepak di Malaysia sedangkan beliau mempunyai kewangan yang cukup kukuh untuk beli bukan sebuah tapi beberapa buah pasukan di Liga Malaysia.
Ada bagusnya juga Vincent Tan mempunyai kelab di luar negara kerana beliau boleh membantu lebih ramai pemain-pemain muda tempatan berbakat besar untuk melebarkan sayap mereka ke Eropah di salah sebuah kelabnya.
Ketika ini ada beberapa nama pemain muda tempatan yang mempunyai bakat besar yang dilihat mampu pergi dengan lebih jauh sekiranya mereka mendapat latihan bertaraf dunia.
Antara pemain yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah Faisal Halim. Pemain berusia 24 tahun yang bermain untuk Terengganu FC (TFC) itu sangat pantas dan lincah walaupun bertubuh kecil.
Kelibatnya di padang sering kali mengucar-ngacirkan pertahanan pihak lawan dan tidak dapat dinafikan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey merupakan antara penyerang tempatan yang berbisa di Liga Super.
Seorang lagi pemain bertubuh kecil, Fayadh Zulkifli juga merupakan antara pemain muda yang menjadi perhatian sejak beberapa musim kebelakangan ini.
Berusia 23 tahun, pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ini terus mempamerkan aksi yang cukup cemerlang dan berani menggelecek beberapa pertahanan lawan dan menjaringkan gol atau assist. Kemasukan Fayadh mampu mengubah perlawanan sekiranya Kedah mahukan jaringan segera.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Fayadh sebelum ini pernah berlatih bersama pasukan Cardiff, jadi dengan pendedahan yang sudah ada pada dirinya beliau mampu untuk menyinar di peringkat antarabangsa.
Seorang lagi pemain muda yang boleh mampu bersinar dengan lebih jauh lagi adalah pemain sayap dari PJ City FC iaitu V. Ruventhiran. Sejak diturunkan sebagai pemain gantian, beliau telah membalas kepercayaan jurulatih P. Maniam dengan mempamerkan aksi yang cukup bertenaga.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Ruventhiran telah menyaksikan dirinya kini sering berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Seorang lagi pemain yang dilihat mampu bersinar di peringkat antarabangsa adalah penjaga gol tinggi lampai TFC iaitu Rahadiazli Rahalim.
Berusia 20 tahun, Rahadiazli kini merupakan penjaga gol utama untuk skuad Penyu dan sejak membuat penampilan bersama TFC, beliau terus menjadi pilihan Nafuzi Zain.
Apa yang membuatkan Rahadiazli layak untuk bermain di peringkat antarabangsa adalah keadaan fizikalnya yang hampir setaraf dengan penjaga gol import iaitu berketinggian 1.92 meter. Jadi dari segi fizikal beliau tidak mempunyai masalah untuk bersaing dengan penjaga gol yang lain biarpun di peringkat antarabangsa.
Tindak balas yang pantas dalam menyelamatkan percubaan demi percubaan menyaksikan namanya kini turut mendapat perhatian ketua jurulatih skuad B-23 negara iaitu Brad Maloney yang telah memanggilnya untuk persiapan skuad bagi menghadapi temasya Sukan SEA Hanoi pada bulan Mei depan.