Bakar suar di stadium, nasib JDT akan diputuskan pada Jumaat ini

12,157

Baru-baru ini insiden penyokong bola sepak menyalakan suar di dalam stadium menjadi perhatian ramai berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sememangnya sudah mengharamkan tindakan tersebut.

Dua insiden bakar suar telah berlaku yang mana insiden pertama membabitkan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT), Boys of Straits membakar suar selepas pasukan mereka menang menentang Terengganu FC (TFC).


Insiden kedua pula membabitkan Ultras Tranung yang membakar suar selepas perlawanan antara pasukan TFC menentang Selangor FC baru-baru ini.

Dikatakan bahawa pihak FAM telah menghantar surat kepada pihak TFC dengan mendakwa mereka telah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM akibat kelakuan tersebut.

Bagaimanapun timbul persoalan daripada penyokong bola sepak tanah air yang tertanya-tanya adakah pasukan JDT akan dikenakan tindakan sama berikutan tiada khabar berita samada mereka sudah terima surat atau tidak.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata tiada layanan double standard seperti yang didakwa sebaliknya nasib kedua-dua pasukan itu akan diketahui tidak lama lagi.

“Saya tidak dapat nak komen lanjut mengenai perkara ini kerana ia di bawah Jawatankuasa Tatatertib FAM. Surat telah dihantar kepada kedua-dua pasukan (TFC & JDT) dan pada Jumaat ini satu Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM akan berlangsung bagi menentukan nasib JDT.

Manakala untuk TFC pula, mesyuarat tatatertib akan berlangsung pada 5 Mei ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu ramai penyokong yang mendakwa FAM memberi layanan double standard  apabila pantas mengambil tindakan terhadap pasukan TFC sedangkan insiden sama yang berlaku terhadap JDT sehingga kini masih tiada khabar berita.

Apa-apa pun kita tunggu dan lihat keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang akan diputuskan pada Jumaat ini. Oleh itu, diharap penyokong tidak membuat sebarang spekulasi buat masa ini.