Kerajaan prihatin terhadap nasib pemain, pegawai tapi pemilik Perak FC masih senyap

3,177

Kemelut gaji yang melanda pasukan Perak FC tampaknya seperti tiada kesudahan apabila pemain dan pegawai pasukan itu sudah merana berbulan-bulan apabila gaji mereka tidak dibayar.

Bagaimanapun bersempena bulan yang mulia Ramadan, pihak kerajaan negeri Perak menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad prihatin dengan situasi yang melanda skuad The Bos Gaurus telah memberi sumbangan kepada 50 pemain dan pegawai.


Sumbangan duit raya sebanyak RM1,000 seorang telah diberikan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka.

Walaupun jumlahnya tidak besar tetapi ia sangat bermakna kerana nasib mereka kini seperti ‘telur dihujung tanduk’ berikutan pihak pengurusan sendiri berdiam diri.

Pasukan Perak sepatutnya berasa bertuah kerana mereka mempunyai penyokong yang sangat setia dan sentiasa bersama dalam apa jua situasi.

Malah penyokong juga mengambil inisiatif mereka sendiri dengan mengumpul derma untuk diberikan kepada pemain yang berjuang di atas padang tanpa bayaran.

Baru-baru ini pihak Malaysian Football League (MFL) telah memotong sembilan mata daripada pasukan Perak selepas mereka gagal membayar tunggakan gaji walaupun diberikan tempoh.

Walaupun pemilik Perak iaitu Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC) tidak dapat melangsaikan hutang mereka, namun MFL menerusi badan bebas ‘First Instance Body’ (FIB) masih lagi memberi talian hayat kepada Perak.

Talian hayat itu diberikan selepas IMC memohon lanjutan masa berikutan mereka kini sedang dalam rundingan pertukaran pemilikan sehingga 29 April ini.

Penyokong yang tidak mahu berdiam diri turut bertindak membuat satu petisyen untuk diserahkan kepada Istana untuk menarik perhatian Sultan Perak mengenai isu yang melanda pasukan Perak.

Sebelum ini pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM400,000 untuk pasukan itu menyelesaikan sebahagian tunggakan gaji.

Tetapi persoalan yang timbul ketika ini adalah apakah esok (29 April) Perak akan benar-benar dapat pemilik baru atau ia hanya satu sandiwara untuk cuba mengelak dari pasukan itu dikenakan tindakan disingkirkan dari Liga Malaysia.

Situasi yang berlaku pada pasukan Perak hampir sama dengan apa yang berlaku pada pasukan Perlis FC beberapa tahun lalu yang mana mereka juga berdepan situasi sama sehingga mereka telah disingkirkan dari saingan Liga Malaysia.