Malaysia masih belum mampu tarik kelab Eropah bermain di SNBJ lagi

2,159

Apabila tiba musim pra musim kelab bola sepak di Eropah, selalunya kelab-kelab besar akan melakukan perlawanan persahabatan di negara-negara sekitar Asia kerana mereka mempunyai penyokong yang cukup ramai.

Selain memberi peluang kepada penyokong antarabangsa bertemu dengan pemain kesayangan mereka, kelab bola sepak tersebut dapat menjana pendapatan dari penjualan tiket dan barangan eksklusif kelab tersebut.


Untuk musim 2022, beberapa pasukan gergasi Eropah sudah pun mengumumkan jadual jelajah Asia kelab mereka antaranya Manchester United FC, Liverpool FC dan Crystal Palace FC.

Malangnya jadual jelajah ketiga-tiga kelab itu menyaksikan Malaysia tiada dalam perancangan mereka sebaliknya negara Thailand, Australia dan Singapura akan menjadi destinasi pilihan mereka.

Liverpool dan Crystal Palace akan berentap di Stadium Nasional Singapura pada 15 Julai bagi merebut Standard Chartered Singapore Trophy 2022.

Ini adalah kali kedua Liverpool turun ke Singapura selepas kali terakhir berbuat demikian pada tahun 2009.

Sebelum menentang Crystal Palace, Liverpool akan menentang musuh tradisi Manchester United terlebih dahulu pada 12 Julai di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand.

Dalam pada itu, Manchester United bukan sahaja akan melakukan jelajah mereka di Thailand sahaja, tetapi mereka juga akan terbang ke Australia untuk bermain di Melbourne dan Perth.

Skuad The Red Devils dijadualkan menentang Melbourne Victory pada 15 Julai dan akan menentang Crystal Palace pada empat hari kemudian iaitu 19 Julai.

Pada 23 Julai pula, Manchester United akan terbang ke Perth untuk menentang Aston Villa di Stadium Optus.

Entah mengapa sejak beberapa tahun kebelakangan Malaysia seperti dipinggirkan oleh kelab-kelab besar Eropah.

Ini kerana sebelum ini Malaysia menjadi destinasi pilihan banyak kelab besar Eropah antaranya Manchester United, Arsenal, Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspur, Queens Park Rangers dan Barcelona.

Di mana salah dan silap yang membuatkan kelab-kelab ini tidak memilih Malaysia sebagai destinasi jelajah pra musim mereka? Jika hendak dikatakan stadium tidak bagus, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) merupakan antara stadium terbesar di dunia dengan kapasiti 80,000.

Malaysia juga mempunyai ramai penyokong kelab bola sepak dari “Big 5” – Premier League, La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1 jadi ia pasti akan mendapat sambutan luar biasa.

Apa-apa pun diharap selepas ini kelab-kelab di Eropah akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk mereka membuat jelajah pra musim.

Terdapat kemungkinan besar SNBJ akan menganjurkan beberapa perlawanan persahabatan antara skuad Harimau Malaya bersama kelab-kelab besar Eropah tidak lama lagi.

Perkara itu disuarakan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang mana berkata kelab elit Eropah dijangka ‘berkampung’ di SNBJ pada pertengahan tahun depan sebagai simbolik perasmian padang baharu di SNBJ yang bakal siap pada April 2023.