Penang FC rehatkan ketua jurulatih Tomas Trucha
Hari ini baru sahaja selesai kemelut membabitkan pasukan Perak FC, kini timbul satu lagi masalah dari pasukan utara iaitu Penang FC yang dikatakan telah merehatkan ketua jurulatih mereka iaitu Tomas Trucha.
Trucha direhatkan berpunca daripada prestasi buruk skuad Harimau Kumbang itu selepas enam perlawanan yang mana mereka tidak pernah menang sebaliknya seri tiga kali dan kalah tiga kali.
Perkara itu disahkan sendiri oleh satu sumber dalaman pasukan itu.
Terdahulu kemelut dalaman Penang menjadi bualan ramai apabila penyokong mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi skuad kendalian Trucha.
Pelbagai tuduhan dan spekulasi telah dilontarkan oleh penyokong antaranya menuduh Trucha cuba mensabotaj pasukan.
Susulan Trucha direhatkan, Penang akan dikendalikan oleh penolong ketua jurulatih Manzoor Azwira dan Chong Yee Fatt.
Terdahulu Penang sememangnya sudah mempunyai rangka pelan 2023 yang mana Manzoor akan dilantik sebagai ketua jurulatih.
Sebagai persediaan untuk ambil alih tugas daripada Trucha, Manzoor akan mengambil kursus AFC Pro Diploma.