Liga Malaysia kini No.1 di Asia Tenggara, tapi adakah kualiti liga selari dengan ranking?

13,998

Penyokong bola sepak tanah air sepatutnya berterima kasih kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kejayaan mereka dalam saingan peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) telah melonjakkan ranking Liga Malaysia kepada No. 1 di Asia Tenggara.

Kedudukan ranking terbaru itu menyaksikan Thai League 1 kini jatuh di tangga kedua sekaligus menjadikan Liga Malaysia kini Raja Bola Sepak di Asia Tenggara.


Lebih menakjubkan lagi, kejayaan JDT mara ke peringkat 16 terbaik ACL turut melonjakkan Malaysia ke tempat ke-10 benua dan keempat Asia Timur di belakang J-League (Jepun), K-League (Korea Selatan) dan Hong Kong Premier League (Hong Kong).

Bagaimanapun persoalan yang timbul adalah apakah kualiti liga tempatan selari dengan kenaikan ranking terbaru ini?

Ini kerana daripada 24.45 mata yang diperolehi Malaysia sejak 2019 menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora telah menyumbang 24 mata, jadi rasanya hanya JDT sahaja menjadi satu-satunya pasukan di Liga Malaysia yang mampu bersaing di peringkat tertinggi Asia.

Sumber foto: JST FB

Pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia masih lagi bergelut untuk terus konsisten dalam saingan liga menyaksikan JDT ketika ini seperti tiada saingan langsung dalam liga domestik.

Perkara ini mungkin akan berubah pada musim ini susulan dua lagi pasukan dari Liga Malaysia iaitu Kedah Darul Aman FC dan KL City FC bakal bersaing dalam saingan Piala AFC yang akan berlangsung pada Jun ini sekaligus berpeluang untuk menyumbang mata buat Malaysia.

Usaha keras yang dilakukan oleh JDT juga telah membuka ‘jalan’ kepada pasukan lain di Liga Malaysia untuk mendapat peluang bermain di ACL berikutan kedudukan ranking terbaru menyaksikan Malaysia akan mendapat 2+2 slot ke ACL untuk musim 2024/2025.

Tetapi semuanya akan menjadi sia-sia sekiranya pasukan di Liga Malaysia masih berada di takuk lama dan tidak berubah terutamanya membabitkan pengurusan pasukan berikutan setiap musim pasti akan berlaku masalah tunggakan gaji pemain.

Oleh itu kita berbalik kepada persoalan utama iaitu adakah kualiti liga tempatan ketika ini selari dengan kedudukan ranking ketika ini? Realitinya Liga Malaysia sebenarnya masih jauh ketinggalan berbanding Thai League 1.

Ini kerana di sana bukan hanya satu pasukan sahaja menyumbang mata kepada liga mereka seperti di liga tempatan tetapi dua pasukan iaitu BG Pathum United dan Chiangrai United pada musim ini.

Apa yang membezakan kualiti Liga Malaysia dan Thai League 1 adalah di sana setiap musim boleh dikatakan terdapat lebih lima pasukan yang mampu menjadi juara liga.

Sumber foto: JST FB

Berbeza di Liga Malaysia yang mana hanya JDT sahaja mendominasi saingan Liga Super selama lapan musim berturut-turut.

Sesuatu perlu dilakukan oleh pasukan yang bersaing di Liga Malaysia yang mana mereka boleh jadikan JDT sebagai contoh yang terbaik.

Maksud contohi JDT adalah ikut cara mereka uruskan pasukan dan bukannya ikut cara mereka berbelanja kerana setiap pasukan perlu ‘ukur baju di badan sendiri’ apabila berbelanja dan bukannya ikut seperti JDT kerana mereka mempunyai kewangan yang cukup kukuh dan mereka bukan sahaja menjadi pasukan terkaya di Malaysia tetapi juga antara yang terkaya di rantau Asia.

Jika setiap pasukan di Liga Malaysia dapat diuruskan secara profesional seperti JDT, maka tidak mustahil selepas ini kita akan mempunyai lebih banyak pasukan yang bersaing dalam saingan tertinggi di Asia satu hari nanti.