Kehadiran Hamidin di Hanoi bawa tuah buat skuad B-23 negara

2,176

Walaupun ramai tidak menaruh harapan tinggi buat pasukan B-23 Malaysia yang bersaing di temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam, anak buah Brad Maloney telah memulakan kempen dengan langkah kanan apabila berjaya menumpaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan pembukaan.

Kejayaan Harimau Malaya menumbangkan skuad Gajah Perang telah mencerahkan lagi peluang skuad kendalian Maloney untuk melepasi peringkat kumpulan kerana selepas ini mereka akan bertemu dengan Laos, Singapura dan terakhir Kemboja.


Bukan hendak memandang rendah terhadap pasukan lawan yang lain, namun jika mereka dapat kekalkan prestasi yang sama ketika menentang Thailand, mereka seharusnya tidak akan berdepan masalah besar apabila menentang pesaing-pesaing yang seterusnya.

Sumber foto: FAM FB

Kehadiran Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin di Hanoi nyata menjadi pembakar semangat buat pemain negara untuk beri aksi persembahan mantap.

Beliau ke Hanoi bukan atas kapasiti sebagai Presiden FAM, sebaliknya sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Hamidin turut memuji aksi skuad negara yang mempunyai semangat juang yang cukup tinggi apabila setiap pemain bekerja keras serta tidak mudah mengalah menjadi faktor utama kejayaan mereka.

Walaupun sibuk dengan dengan sukan lain sepanjang di Hanoi, namun beliau sentiasa mengikuti perkembangan kem bola sepak negara dengan rapat.

Sumber foto: FAM FB

Ketika ini Malaysia berada di kedudukan ketiga Kumpulan B selepas satu perlawanan bersama Kemboja, manakala Thailand sebagai peneraju selepas dua perlawanan, manakala Laos dan Singapura berada di tangga tercorot apabila mereka seri sekali dan kalah sekali.

Perlawanan Malaysia menentang Laos mampu mengubah kedudukan pendahulu yang mana jika anak buah Maloney berjaya meraih tiga mata dengan kemenangan besar, maka Malaysia akan berada di puncak kumpulan.

Jika mereka berjaya memenangi baki semua perlawanan, Malaysia akan menjadi juara kumpulan.

Walaupun masih terlalu awal untuk meramal keputusan akan datang, namun sebelum ini FAM telah meletakkan sasaran untuk skuad B-23 meraih pingat emas.

Untuk merealisasikan sasaran itu, pihak FAM dan Malaysia Football League (MFL) sanggup menunda perlawanan liga membabitkan beberapa pasukan yang mana ramai pemain mereka yang dipanggil untuk sarung jersi Harimau Malaya, terutamanya Terengganu FC dan Selangor FC.