Sudah tiba masanya barisan kejurulatihan skuad badminton wanita dirombak?

533

Selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) baru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyasarkan skuad badminton wanita negara mampu mengulangi kejayaan sama di Piala Uber 2022.

Bagaimanapun sasaran untuk skuad badminton wanita meleset apabila mereka tersingkir awal dari saingan Piala Uber 2022 apabila mereka tewas 3-2 kepada Denmark dan 4-1 kepada tuan rumah Thailand.


Pasukan wanita negara mempunyai satu lagi perlawanan iaitu menentang Mesir. Walaupun sudah tidak layak, namun setiap pemain perlu mengambil serius dalam perlawanan terakhir kumpulan ini untuk sekurang-kurangnya tidak pulang dengan tangan kosong.

Tidak dapat dinafikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini prestasi skuad badminton wanita sangat mengecewakan berikutan apabila sering mempamerkan aksi longlai sekaligus membuatkan skuad wanita negara kini menjadi lubuk buat pemain lawan.

Apa yang dilihat ketika ini adalah skuad badminton wanita tidak lagi mempunyai reputasi seperti zaman Wong Mew Choo dahulu dan ini telah menimbulkan kegusaran di kalangan peminat yang melihat seperti ada sesuatu yang tidak kena dan tertanya-tanya mengapa prestasi skuad wanita merosot.

Sumber foto: BWF FB

Mungkinkah sudah tiba masanya untuk BAM melakukan rombakan barisan kejurulatihan memandangkan barisan kejurulatihan sedia ada ketika ini jelas tidak dapat memberi keputusan seperti yang dimahukannya.

Tidak mahu meletakkan kesalahan seratus peratus kepada barisan kejurulatihan, pemain juga sepatutnya bertanggungjawab atas prestasi buruk mereka sendiri dan cuba perbaiki kelemahan yang ada.

Pemain ketika ini sepatutnya lebih baik daripada pemain terdahulu kerana ketika ini di BAM mereka mempunyai pelbagai fasiliti moden dan canggih untuk menjadi atlet bertaraf dunia, tetapi nampaknya ia tidak memberi sebarang kesan langsung.

Adakah salah fasiliti atau mentaliti pemain ketika ini yang tidak fokus dan sering sambil lewa menjadi punca kepada prestasi buruk mereka?

Sumber foto: Alchetron

Sehingga kini masih tiada lagi seorang pemain wanita yang dilihat setaraf dengan Mew Choo yang merupakan antara pemain badminton wanita terbaik yang pernah negara lahirkan.

Pada masa sama mental pemain juga dilihat tidak sekuat seperti pemain terdahulu, yang mana apabila bermain di kejohanan besar seperti Piala Uber mereka tampak seperti tidak bersedia langsung apabila mudah ditewaskan.

Bukan skuad badminton wanita sahaja, tetapi skuad badminton lelaki juga memperlihatkan prestasi ‘yo yo’ daripada pemain yang mana mereka tidak dapat kekalkan momentum.

Apa yang menariknya mengenai badminton tempatan adalah mereka mempunyai penyokong yang cukup fanatik dan sentiasa berada di belakang pemain ketika menang mahu pun kalah.