Sentuhan Postecoglou dan Jepun membawa Celtic daripada huru-hara ke Liga Juara-Juara Eropah

3,595

Celtic disahkan juara Liga Perdana Scotland buat kali ke-10 dalam 11 musim, kejayaan ini dijangka tetapi bukannya mudah.

Hasrat The Hoops untuk menjadi juara liga buat rekod 10 kali berturut-turut dileburkan oleh Rangers musim lalu. Pencarian pengurus baru juga berdepan masalah besar apabila Eddie Howe mengambil keputusan untuk mengambil alih kelab terkaya dunia, Newcastle United di Liga Perdana Inggeris.


Jika difikirkan semula, keputusan Howe menjadi rezeki kepada Ange Postecoglou.

Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Australia, Postercoglou, yang sebelum ini melatih Yokohama F Marinos di Jepun, sebenarnya kurang dikenali dan kurang diminati oleh ramai pakar dan peminat juga mengejek pelantikannya.

Sebelas bulan selepas itu, Postecoglou telah menjulang kejuaraan liga, Piala Liga Scotland dan membawa Celtic kembali ke dalam kalangan elit Eropah dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian setakat ini, tetapi saya tidak mendapat yang saya sukai – dipecat menjelang Krismas,” sindir Postecoglou ketika menerima anugerah ‘Pengurus Terbaik’ daripada penulis bola sepak Scotland pada Ahad lepas.

Kepantasan pemulihan di Celtic Park adalah lebih mengagumkan memandangkan konteks rombakan besar dalam pasukan dan pencapaian Rangers ke final Liga Europa musim ini.

Rangers telah mengalahkan Borussia Dortmund dan RB Leipzig untuk mara ke final kejohanan Eropah buat kali kedua dalam tempoh 50 tahun.

Bagaimanapun, Celtic hanya ditewaskan sekali dalam empat pertembungan Old Firm dalam Liga Perdana Scotland – kekalahan tunggal berlaku pada bulan Ogos apabila pembelian pemain masih belum selesai.

Pengetahuan dalaman Postecoglou tentang bola sepak Jepun mebuatkannya berjaya mencungkil bintang-bintang baru iaitu Kyogo Furuhashi, Daizen Maeda, Reo Hatate dan Yosuke Ideguchi.

Jaringan gol dari Celtic juga disumbang oleh pemain dari Amerika Syarikat, Croatia, Greece, Israel, Portugal dan Sweden dan kesemuanya memainkan peranan penting.

Sejak tewas tiga daripada enam perlawanan pertama mereka, Celtic tidak pernah lagi merasai kekalahan dalam 31 perlawanan liga seterusnya, untuk merangkul kejuaraan dengan berbaki satu perlawanan.

“Kami mengharungi setiap perlawanan dengan persiapan dan niat yang sama, penghormatan yang sama untuk setiap lawan, di tempat sendiri dan lawan,” kata Postecoglou.

“Itu memberi manfaat kepada kami untuk berada di kedudukan seperti sekarang, kerana 30 perlawanan lalu kami agak ketinggalan seperti pasukan yang boleh menjadi juara.

“Kami boleh dikatakan berada pada tahap baik, dan walaupun kami belum melakukannya dengan terbaik, tetapi kami masih menemui cara untuk menyelesaikan tugas (untuk merangkul kejuaraan).”

Kelayakan terus ke Liga Juara-Juara mengurangkan tekanan Postecoglou sebagai pengurus Celtic.

Terdapat juga habuan sekurang-kurangnya £30 juta untuk ‘transfer’ pada bulan-bulan akan datang.

Walaubagaimanapun, kejayaan Rangers di Liga Eropah musim ini telah menambah tekanan kepada pasukan hijau-putih ini untuk meningkatkan permainan mereka di benua Eropah.

Celtic masih belum memenangi perlawanan kalah mati di Eropah selepas peringkat kumpulan sejak 2004 dan tersingkir tiga kali musim ini di dalam Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Europa Conference.

“Cita-cita saya untuk Celtic adalah untuk menjadikannya kelab bola sepak terbaik yang bermain di peringkat tertinggi,” tambah Postecoglou.