Piala Asia 2023 ditunda? Tuan rumah tukar tangan dari China ke Qatar?

2,313

Tuan rumah Piala Asia 2023 besar kemungkinan akan ditukar dan juga ditunda.

Menurut sumber, Persatuan Bolasepak Asia (AFC) sedang di dalam perbincangan dengan China berkenaan komitmen mereka untuk penganjuran Piala Asia 2023.


Sebelum ini, Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China sudah ditangguhkan kerana kebimbangan mengenai penularan varian Omicron COVID-19 di negara tersebut. Keputusan drastik itu dibuat kurang daripada tiga bulan selepas negara itu menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Paralimpik.

Sumber mengatakan bahawa Qatar dipercayai menjadi pilihan utama AFC untuk mengambil alih, dengan kriteria yang ditetapkan, untuk menganjurkan Piala Asia 2023. Tarikh perlawanan Piala Asia 2023, seperti Piala Dunia 2022 Qatar, juga akan ditunda ke Januari 2024 untuk menyesuaikan iklim mereka.

Perbincangan di antara AFC and China, dijangka merangkumi hasrat China untuk menangguhkan pengehosan mereka sehingga 2027. Tuan rumah edisi 2027, Arab Saudi, berkemungkinan akan diberi ‘guarantee’ untuk menjadi hos untuk tahun 2031.

Bagaimanapun, perbincangan masih di dalam peringkat awal, butir-butir seperti fleksibiliti dalam kalendar masih di atas meja.

Sementara itu, dengan lebih daripada 12 bulan dalam tangan untuk pemulihan situasi COVID-19 di China, AFC dikhabarkan masih lagi memberi peluang kepada China untuk memberikan kepastian dan jawapan terakhir.