VAR sah akan digunakan pada peringkat kalah mati ACL & Piala Asia B-23
Seiring dengan dunia bola sepak moden, penggunaan teknologi Video Assistant Referee (VAR) kini menjadi teknologi penting untuk bola sepak yang mana ia kini sudah digunakan di liga-liga utama dunia ketika ini.
Ia mula diperkenalkan pada Julai 2016 dalam satu perlawanan persahabatan bagi percubaan pertama sistem VAR ketika PSV Eindhoven menentang FC Eindhoven.
Sejak dari itu penggunaan VAR semakin meluas dan terbaru Asian Football Confederation (AFC) juga bakal mengikut jejak langkah sama apabila mereka telah mengesahkan akan menggunakan VAR dalam kejohanan anjuran mereka dalam masa terdekat ini.
VAR akan mula digunakan pada kejohanan Piala Asia B-23 Uzbekistan 2022 yang akan berlangsung pada 1 hingga 19 Jun depan membabitkan 32 perlawanan.
AFC juga akan menggunakan VAR pada pusingan kalah mati dalam saingan AFC Champions League (ACL) yang akan berlangsung pada Ogos depan.
Penggunaan VAR dalam dua kejohanan besar Asia ini akan menjadi pengalaman baru buat pemain Harimau Malaya B-23 dan juga juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan beraksi dalam perlawanan yang akan menggunakan teknologi tersebut.
Adakah pemain skuad kendalian Brad Maloney dan Benjamin Mora sudah bersedia dengan penggunaan teknologi terbaru ini nanti? Rasanya para pemain tidak perlu bimbang kerana dengan penggunaan VAR ini ia akan menjadikan perlawanan lebih adil.
Tidak dapat dinafikan setiap perlawanan besar ia akan memberi tekanan yang cukup tinggi untuk pengadil yang mengadili perlawanan tersebut sehinggakan kadang-kala mereka membuat keputusan yang salah boleh membuatkan sesebuah pasukan itu kalah atau menang.
Jadi dengan penggunaan VAR ini ia dapat mengurang dan memperbetulkan setiap keputusan yang diragui oleh pengadil. Semua sedia maklum bahawa pengadil juga manusia jadi mereka juga pasti akan membuat keputusan.
Dengan adanya VAR ini ia akan mengurangkan gangguan emosi pemain kerana mereka boleh membuat bantahan dan meminta pengadil untuk melihat semula video samada keputusan yang dibuat adalah tepat atau sebaliknya.
Jurulatih dan pemain skuad negara dan JDT pastinya akan berasa gembira dengan penggunaan VAR ini kerana kebanyakkan daripada mereka ini pernah menjadi mangsa mutu pengadilan dalam saingan liga domestik.
Sehingga kini, mutu pengadilan di Liga Malaysia masih lagi dikritik hebat terutamanya ketika perlawanan penting membabitkan dua pasukan besar.
Apa yang membuatkan mutu pengadilan liga tempatan teruk adalah pengadil yang mengadili setiap perlawanan adalah pengadil amatur dan bukannya profesional.
Oleh itu ramai yang menggesa supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk segerakan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) yang terpaksa ditunda tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19.
Apa-apa pun Harimau Malaya ingin ucapakan selamat maju jaya buat skuad B-23 negara dan JDT yang akan mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 dan ACL nanti.