Macam mana nak dapat sokongan peminat kalau jurulatih tak yakin dengan pemain sendiri?
Hampir sedekad Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi Liga Super dan nampaknya mereka semakin jauh meninggalkan pasukan-pasukan lain di liga tempatan.
Dengan kejayaan mara ke peringkat kalah mati AFC Champions League (ACL) baru-baru ini sebagai juara kumpulan apabila menumpaskan gergasi Jepun dan Korea Selatan, JDT dilihat berada dalam momentum yang cukup baik dan tiada pasukan di Liga Super mampu menandingi mereka.
Bagaimanapun kehebatan JDT tidak seharusnya membuatkan mana-mana jurulatih atau pemain berasa takut atau angkat ‘bendera putih’ walaupun masih belum turun beraksi sebaliknya mereka perlu bekerja keras untuk dapatkan keputusan baik.
Baik jurulatih mahupun pemain masing-masing mempunyai peranan tersendiri untuk memastikan mereka bermain bersungguh-sungguh.
Baru-baru ini selepas perlawanan pusingan kedua Piala FA yang menyaksikan JDT mudah menewaskan Sarawak United FC, ketua jurulatihnya iaitu B. Satianathan mendedahkan bahawa beliau sudah menjangkakan pasukannya akan tumpas di tangan skuad kendalian Benjamin Mora.
Malah ketika perlawanan Liga Super baru-baru ini diantara Negeri Sembilan FC dan JDT juga telah mencetuskan kontroversi apabila pengadil memberi tempoh masa tambahan 10 minit yang mana menyaksikan JDT berjaya menjaringkan gol di saat-saat akhir.
Pada masa sama ramai penyokong JDT tidak berpuas hati dengan taktikal Negeri Sembilan yang didakwa melambat-lambatkan masa termasuklah insiden membabitkan penjaga gol Syihan Hazmi yang dilihat seperti membuang masa dengan ‘bersembang’ dengan Budak Milo (pengutip bola).
Tidak dapat dinafikan Mora sememangnya tidak gemar apabila pasukan lawan menggunakan taktikal ‘parking bas’, namun setiap jurulatih sudah pasti tahu akan kelemahan dan kelebihan pemainnya untuk mengatur strategi yang berkesan.
Sudah pasti anda ingat dengan pakar taktikal bola sepak dunia iaitu Jose Mourinho ketika bersama Inter Milan dari Itali, berjaya menumpaskan gergasi Sepanyol, Barcelona dalam perlawanan separuh akhir UEFA Champions League sekaligus berjaya muncul sebagai juara.
Biarpun ketika itu Inter dibarisi oleh pemain berusia dan tidak mampu menandingi kehebatan dan kelajuan yang ada pada Barcelona, tetapi beliau bijak mengatur strategi sehingga membuatkan pasukan lawan buntu untuk menembusi barisan pertahanan.
Pihak lawan suka atau tidak mereka perlu hadap perkara itu dengan hati yang terbuka dan tak perlu kritik taktikal pasukan lawan.
Untuk pasukan kerdil pula, mereka tidak boleh cepat mengaku kalah walaupun menentang pasukan gergasi kerana dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku, jadi mereka perlu kekalkan disiplin sepanjang perlawanan.
Jika jurulatih dan pemain memberikan aksi persembahan yang menarik dan bertenaga sudah pasti penyokong akan terus memberi sokongan padu, tetapi jika jurulatih dan pemain sudah angkat ‘bendera putih’ sebelum perlawanan, jangan tanya mengapa penyokong tidak mahu turun stadium.