FAM belum buat keputusan samada akan rombak skuad futsal

262

Susulan tiga keputusan buruk skuad futsal lelaki Malaysia di temasya Sukan SEA Hanoi, ramai peminat futsal tanah air mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan sesuatu untuk memulihkan semula skuad futsal ini.

Ini kerana selepas tiga perlawanan, skuad kendalian Chiew Chun Yong tewas dalam ketiga-tiga perlawanan dengan jumlah jaringan bolos yang banyak iaitu 16 gol, dan walaupun berbaki satu lagi perlawanan, namun skuad futsal negara sudah pun tersingkir.


Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar yang ditanya oleh Harimau Malaya samada akan ada rombakan drastik dalam skuad, beliau berkata pihaknya masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Terlalu awal untuk saya beritahu kerana kita perlu tunggu juga laporan untuk bersikap adil kepada pengurus pasukan dan jurulatih yang mana ia akan dinilai oleh unit teknikal sebelum kita duduk berbincang dan buat keputusan,”

katanya.

Pada masa sama Saifuddin juga berkata pihaknya juga masih belum membuat keputusan samada ada keperluan untuk membuat ‘post-mortem’ kegagalan skuad futsal negara.

Beliau berkata pemain negara telah memberikan aksi yang terbaik tetapi terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lain.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai penjualan tiket Kombo RM100 membabitkan perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang mula dijual sejak semalam 16 Mei, beliau merasakan sambutan penyokong positif.

“Saya masih lagi belum mendapat jumlah sebenar tiket yang terjual tetapi saya rasa ia mendapat sambutan amat baik kerana RM100 untuk tiga hari perlawanan bermakna enam perlawanan ia amat berpatutan.”

Tambahnya lagi, beliau akan memaklumkan jumlah jualan tiket selepas mendapat laporan daripada pihak www.tickethotline.com.my.