Leher bersimen ke, kaki bersimen ke datang dulu lapor diri – Saifuddin Abu Bakar

3,690

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar meminta 29 pemain yang tersenarai dalam kem latihan pusat Harimau Malaya untuk datang lapor diri pada 19 Mei ini tanpa sebarang alasan.

“Leher bersimen ke, kaki bersimen ke atau ada masalah pemain harus datang lapor diri terlebih dahulu sebelum barisan kejurulatihan buat keputusan selanjutnya,”

katanya.

Saifuddin bagaimanapun berkata pihak FAM tidak akan mengambil tindakan terburu-buru untuk mengenakan sebarang hukuman kepada pemain sebaliknya mereka memahami setiap pemain mempunyai masalah peribadi sendiri.


“Pihak kami akan membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya.”

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai skuad B-23 negara yang memilih laluan berliku di separuh akhir apabila akan menentang tuan rumah Vietnam selepas sekadar seri dengan Kemboja pada perlawanan terakhir kumpulan sekaligus kedudukan pendahulu dirampas Thailand, Saifuddin meluahkan keyakinannya terhadap anak buah Brad Maloney.

Tambahnya lagi, berdasarkan amanat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pemain perlu fokus dan mempunyai mentaliti menang.

Oleh itu beliau menyeru setiap pemain memberikan komitmen 200 peratus pada perlawanan separuh akhir nanti kerana ia adalah perlawanan kalah mati.

Mengakui persembahan kurang memberangsangkan pada perlawanan terakhir kumpulan berkemungkinan atas sebab persediaan perlawanan separuh akhir, beliau meluahkan keyakinannya terhadap skuad Harimau Muda untuk pamer aksi terbaik mereka.