Walaupun menang emas untuk lompat bergalah, Sarah Adi akan fokus pada acara pecut juga

925

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itulah yang berlaku kepada atlet kebangsaan Malaysia iaitu Nor Sarah Adi yang berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Hanoi dalam acara lompat bergalah wanita baru-baru ini.

Apa yang membuatkan orang lain termasuk dirinya tidak percaya adalah kemenangan pingat emas ke-19 buat kontinjen negara ini hadir tanpa dirancang berikutan beliau ke temasya dwitahunan ini untuk acara 4×100 meter yang mana menyaksikan beliau berjaya membantu kuartet wanita meraih pingat gangsa.


Walaupun meraih pingat emas dalam acara lompat galah, namun ia tidak akan membuatkan Sarah fokus pada satu acara sahaja selepas ini.

“Buat masa sekarang ini saya masih lagi kekalkan dua acara ini iaitu lompat bergalah dan lari pecut kerana saya akan bertanding di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) terakhir saya pada tahun ini yang mana saya akan bertanding dalam acara lompat galah, 100 meter dan 4×100 meter untuk Pahang.

Selepas itu saya akan buat persiapan untuk ASEAN University Games yang mana saya berkemungkinan besar akan sertai dua acara ini. Jadi saya akan beri tumpuan pada kedua-dua acara ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sarah mengakui kejayaannya adalah berkat doa keluarga, jurulatih dan sahabatnya yang sentiasa memberikan sokongan pada dirinya.

Malah atlet muda berusia 22 tahun itu mendedahkan beliau berjaya menepati ramalam yang disuarakan oleh ayahnya sendiri.

“Sebelum saya ke Hanoi, ayah saya banyak kali berkata beliau percaya saya akan dapat satu pingat emas dan akan bawa pulang dua pingat. Walaupun pada mulanya saya beritahu ayah saya agak mustahil memandangkan ia kali pertama saya ke Sukan SEA tetapi Alhamdulillah dapat juga.”

Selepas mencipta kejayaan di Sukan SEA, Sarah yang ditanya apakah sasarannya selepas ini berkata beliau mahu berusaha dengan lebih keras lagi untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Malah beliau juga mahu cuba memecahkan rekod kebangsaan yang dipegang oleh Roslinda Samsu dalam acara lompat bergalah wanita dan juga mencipta lebih banyak rekod baru di masa akan datang.