Fareed Shah tak perlukan simpati tapi perlukan kerja
Bekas prodigy bola sepak Selangor, Mohd Fareed Shah Hassan yang sebelum ini pernah mendapat perhatian ramai apabila dilaporkan menderita akibat sakit usus berkata beliau akan terus berusaha untuk mencari rezeki untuk menyara keluarganya.
Menurut Fareed, sehingga kini beliau masih lagi tidak mempunyai pekerjaan berikutan baru keluar dari hospital selepas menjalani rawatan.
Fareed bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak mahukan simpati dan sumbangan daripada orang ramai, sebaliknya beliau hanya mahukan kerja sahaja.
“Saya sebenarnya tidak mahu simpati daripada orang ramai yang datang beri bantuan tetapi saya mahu bekerja untuk tampung keluarga sendiri.
Kerja jaga stor bola sepak, kutip kon lepas latihan pun saya okay sebab saya kalau boleh nak kerja yang berkaitan dengan bola sepak kerana jiwa saya sangat cintakan dunia bola sepak. Janji dapat kerja dekat dengan padang saya sudah gembira,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Oleh itu beliau berharap ada pihak terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat membantunya mendapatkan kerja.
Sebelum kembali jatuh sakit, Fareed bekerja sebagai jurulatih sambilan untuk pasukan Puncak Suku FC setiap hujung minggu berbekalkan pengalaman dan Sijil Kejurulatihan C dimilikinya.
Dalam pada itu, Fareed menjelaskan bahawa bukan beliau bersikap cerewet dalam memilih kerja tetapi beliau bimbang dengan keadaan kesihatannya akan menyusahkan majikan.
“Saya sekarang ini tak boleh buat kerja berat atas nasihat doktor. Jika saya kerja lain nanti takut saya akan susahkan bos pula bila saya jatuh sakit. Oleh sebab itu saya nak sangat kerja dalam dunia bola sepak macam jaga stor. Dapat kerja itu pun saya dah cukup gembira sangat sebab kena dengan jiwa saya yang cintakan bola sepak.”
Ketika ini Fareed menerima bantuan bulanan sebanyak RM400 daripada Baitumal selain tidak perlu membayar sewa rumah yang didudukinya kini.
Beliau mempunyai empat orang anak yang mana paling kecil berusia dua tahun lebih, oleh sebab itu Fareed perlukan kerja untuk menampung keperluan keluarga dan anak-anak.
Fareed memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Selangor di Sukan Malaysia 1998 (SUKMA) dan berjaya meraih pingat emas sebelum menyertai Sabah.
Beliau kemudian berhijrah ke Pulau Pinang yang mana Fareed telah membantu pasukan Harimau Kumbang itu muncul juara Liga Perdana 1.
Pada tahun 2002 beliau ke Selangor yang mana Fareed berjaya merangkul trofi Piala Malaysia pada tahun itu. Beliau kemudian berpindah ke Public Bank, PKNS dan akhirnya Proton FC sebelum bersara.