Jangan anak tirikan lagi skuad bola sepak dan futsal wanita negara
Walaupun ramai tidak meletakkan harapan tinggi kepada skuad futsal wanita Malaysia pada kejohanan Sukan SEA 2021 kali ini, mereka tetap berjaya menyumbang satu pingat gangsa berharga buat negara.
Selepas kalah besar 4-0 dan 4-1 masing-masing kepada Thailand dan Vietnam dalam dua perlawanan pertama, skuad futsal wanita negara kemudian mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam perlawanan terakhir menentang Myanmar, setelah ketinggalan 3-1 pada separuh masa pertama.
Keputusan seri itu sudah cukup untuk memastikan anak buah Jamhuri Zainuddin membawa pulang pingat gangsa dari bumi Vietnam dalam saingan yang berlangsung secara liga sepusingan antara empat pasukan itu.
Mungkin ada suara-suara sumbang yang memperkecilkan kejayaan meraih pingat itu berpunca daripada keputusan Indonesia tidak menghantar pasukan, namun dengan persiapan yang ala kadar, ia adalah sesuatu yang amat membanggakan.
Kapten skuad futsal wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli, yang lebih dikenali sebagai Intan Serah, meluahkan dalam hantaran Instastory-nya bahawa mereka hanya sempat melakuan persiapan selama 10 hari untuk menghadapi Sukan SEA.
Pencapaian meraih gangsa itu mengulangi rekod sama di Sukan SEA Myanmar 2013.
Cuba bayangkan jika Intan dan rakan-rakan diberi peluang melakukan persiapan lengkap dengan lebih awal lagi?
Kejayaan skuad wanita ternyata jauh lebih baik berbanding pasukan lelaki negara yang menjadi pasukan belasahan dan menghuni tangga tercorot dengan seri sekali dan kalah tiga kali dalam kumpulan yang terdiri dari Thailand, Indonesia, Vietnam dan juga Myanmar walaupun persiapan mereka lebih tersusun daripada skuad wanita.
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk tidak menghantar skuad bola sepak wanita negara ke Sukan SEA 2021.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob, keputusan itu diambil kerana mengambil kira kekuatan lawan selain pencapaian skuad negara dalam dua temasya terakhir.
Diharapkan kejayaan pasukan futsal wanita ini bakal membuka mata FAM terhadap kedua-dua pasukan bola sepak dan futsal wanita kebangsaan.
Mereka hanya memerlukan peluang untuk membuktikan diri, kenapa permintaan sekecil ini pun tidak boleh diberi?