Akui masa telah tiba, penyokong Tok Gajah restu jika Azam Azih angkat kaki ke JDT

3,655

Perancang berbakat Sri Pahang FC, Nor Azam Azih sekali lagi dikaitkan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mempamerkan aksi bertaraf lima bintang ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super baru-baru ini.

Desas-desus perpindahan Azam ke JDT sebenarnya bukanlah perkara baharu dan boleh dikatakan setiap musim akan timbul, namun kali ini, ia seakan-akan bakal menjadi kenyataan.


Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora sebelum ini juga mengakui bahawa bahagian tengah pasukannya kini sedang mempunyai masalah.

Apa yang mengejutkan ialah, ramai juga penyokong Sri Pahang yang merestui perpindahan tersebut dan merasakan ini merupakan masa yang sesuai buat pemain kelahiran Maran itu mengembangkan kariernya.

Menginjak usia 27 tahun, Azam kini sedang berada di puncak kariernya dan pasti jauh di sudut hatinya mahu bermain di pentas yang lebih tinggi seperti AFC Champions League (ACL).

Segelintir penyokong Sri Pahang merasakan bahawa Azam hanya mensia-siakan bakat besarnya sekiranya beliau terus kekal di Stadium Darul Makmur.

Jika dilihat dari sudut positif, perkara itu bukan sahaja dapat memberi manfaat buat diri Azam tetapi juga skuad kebangsaan negara jika beliau berjaya mengukuhkan dirinya dalam barisan bintang JDT.

Ketua jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel sebelum ini menafikan khabar angin tersebut dengan menegaskan bahawa Azam adalah seorang pemain yang tidak mengejar wang dan populariti.

Beliau bagaimanapun akan menghormati keputusan pemain itu sekiranya satu hari nanti beliau mahu berhijrah.

Sekiranya Azam berhasrat untuk menyertai JDT, dia harus berfikir masak-masak terlebih dahulu sama ada perpindahan itu bakal memberi kebaikan buat dirinya.

Untuk rekod, pada perlawanan persahabatan FAS Tri-Nation Series di Singapura Mac lalu, Azam turut diketepikan oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang lebih gemar menggunakan Safiq Rahim, pemain yang sering berada di bangku simpanan JDT.

Jika Azam membuat keputusan untuk berpindah ke Stadium Sultan Ibrahim, dia mungkin hanya akan memanaskan bangku simpanan dengan lambakan pemain tengah hebat lain selain Safiq seperti Nazmi Faiz, Natxo Insa, Hong Wan, Afiq Fazail dan Leandro Velazquez.

Namun, tidak mustahil juga Azam boleh mengikut jejak bekas ketua pasukannya di Sri Pahang, Matthew Davies yang kini merupakan salah seorang individu penting dalam skuad Mora.

Pemain-pemain seperti Insa dan Safiq juga masing-masing sudah mencecah umur 35 dan 34, jadi ini merupakan peluang baik buat Azam membuktikan bahawa dia mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kedua-dua pemain itu.