Harith Haiqal patut diberi peluang main dalam kesebelasan utama

947

Pemain muda Selangor FC dan juga pemain skuad kebangsaan Malaysia B-23, Harith Haiqal boleh dikatakan antara pemain muda yang mempunyai potensi besar untuk menyinar dalam saingan liga tempatan dan juga untuk negara.

Pemain berusia 19 tahun itu mula menjadi perhatian ramai apabila beliau yang bermain dengan skuad Selangor FC II telah dinaikkan ke skuad utama pada musim ini.


Bagaimanapun potensi yang ada pada pemain pertahanan tengah itu jarang digunakan oleh jurulatih Jerman, Michael Feichtenbeiner apabila beliau sering memanaskan bangku simpanan sahaja.

Biarpun jarang menjadi pilihan Feichtenbeiner, tetapi Harith telah membuktikan kemampuannya apabila menyarung jersi Harimau Malaya B-23 yang mana aksi persembahannya mendapat pujian daripada orang ramai.

Prestasi yang dipamerkan oleh Harith dari perlawanan ke perlawanan memperlihatkan kematangan dan kemajuannya.

Harith tahu bila untuk bertindak agresif, melakukan pintasan, membuat halangan dan tidak bersikap keterlaluan sehingga ada yang mengatakan aksi persembahannya lebih baik daripada Sharul Nazeem.

Pada perlawanan separuh akhir Sukan SEA semalam menentang tuan rumah Vietnam, Harith mempamerkan aksi yang cukup matang apabila berjaya menyerap serangan bertali arus daripada pihak lawan.

Gandingan Harith, Quentin Cheng dan Azrin Afiq ternyata membuatkan barisan serangan terkuat di Asia Tenggara ‘mati akal’ untuk memecahkan benteng pertahanan negara.

Gol kemenangan Vietnam hanya hadir pada masa tambahan menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Azri Ghani.

Bagaimanapun perjuangan skuad kendalian Brad Maloney masih lagi belum berakhir apabila mereka akan turun menentang Indonesia untuk merebut pingat gangsa pada Ahad ini.

Pemain kelahiran Petaling Jaya itu akan mendapat peluang lagi untuk mempamerkan aksi mantapnya untuk satu lagi kejohanan besar iaitu Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada Jun depan di Uzbekistan.

Jika Harith terus memberikan aksi persembahan yang menakjubkan, tidak mustahil beliau mampu bermain di kesebelasan utama atau pun menarik minat pasukan lain di jendela perpindahan kedua Liga Super.