JDT perlu kerja keras jika nak jadi tuan rumah untuk pusingan kalah mati ACL

2,853

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melangkah ke pusingan kalah mati dalam saingan AFC Champions League (ACL) selepas menjadi juara kumpulan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada April lalu.

Selepas tamat pusingan kumpulan, JDT akan bertemu dengan pasukan gergasi dari Jepun iaitu Urawa Red Diamonds yang mana venue perlawanan masih lagi belum ditentukan.


Untuk zon Timur, selain JDT dan Urawa, enam lagi pasukan yang layak adalah Daegu FC (Korea Selatan), Jeonbuk Hyundai (Korea Selatan), BG Pathum United (Thailand), Kitchee FC (Hong Kong), Vissel Kobe (Jepun) dan Yokohama F.Marinos (Jepun).

Untuk pusingan kalah mati ia akan berlangsung pada 18 dan 19 Ogos yang mana ia akan menggunakan format sekali sahaja perlawanan dan dimainkan di venue berpusat.

Bagaimanapun untuk pusingan kalah mati, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menetapkan penggunaan Video Assistant Referee (VAR), jadi bermakna JDT perlu bekerja keras sekiranya mahu menjadi tuan rumah.

Melihat kepada senarai pasukan yang akan beraksi nanti, hanya JDT dan Kitchee FC tidak mempunyai fasiliti VAR di stadium mereka, sedangkan pasukan lain masing-masing sudah menggunakan VAR dalam saingan liga domestik.

Tidak dapat dinafikan JDT mempunyai kekuatan kewangan untuk menggunakan teknologi VAR di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sekiranya mahu membida untuk menjadi tuan rumah, tetapi persoalannya adakah sempat untuk mereka memasang teknologi itu dalam masa yang singkat ini?

AFC semestinya akan melihat kepada stadium yang sudah mempunyai VAR sebagai keutamaan dalam membuat keputusan.

Memang pasukan sebesar JDT tiada masalah untuk labur berjuta-juta untuk VAR, tetapi jika tidak terpilih ia pasti akan merugikan sedikit pasukan itu memandangkan saingan Liga Super tidak lagi memperkenalkan VAR kerana hampir kesemua pasukan lain tidak mempunyai kewangan untuk menggunakan teknologi itu selain stadium yang diguna adalah milik kerajaan negeri.

Jika melihat dari sudut positif pula, jika mereka menggunakan VAR, JDT sekali lagi maju selangkah dari pasukan lain.

Sekaligus ia mungkin akan dapat memberi sedikit ‘tekanan’ kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk segera menggunakan VAR dalam saingan Liga Malaysia berikutan mutu pengadilan ketika ini sangat teruk dan mendapat kecaman ramai.

Sebelum ini pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan Zamsaham pernah menyuarakan kerelaannya untuk mengeluarkan wangnya sendiri untuk membeli teknologi VAR sekiranya FAM tidak berkemampuan.

FAM nyata kurang senang dengan kenyataan Zamsaham itu dan meminta ahli perniagaan itu datang bertemu dengan mereka sekiranya benar-benar mahu membantu badan induk itu tanpa perlu bercakap kepada media.

Apa-apa pun peminat bola sepak tanah air sangat mengharapkan FAM akan memperkenalkan penggunaan VAR tidak lama lagi seiring dengan keperluan bola sepak moden ketika ini.