Beri peluang sama rata kepada pasukan futsal dan bola sepak wanita – Jamiatul Akma, WSFM
Kejayaan skuad futsal wanita negara meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam berjaya membuka mata banyak pihak mengenai kemampuan pasukan wanita yang selama ini sering dipandang rendah.
Pengasas Women’s Social Futsal & Football Malaysia (WSFM), Jamiatul Akmal berharap, kejayaan itu berjaya membuka mata pihak tertentu terutama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk lebih serius dalam membangunkan sukan futsal dan bola sepak wanita di negara ini.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Jammy percaya, pemain-pemain negara mampu meraih keputusan lebih baik sekiranya mereka mendapat peluang untuk melakukan persediaan dengan lebih awal dan tersusun.
“Kemenangan ini membuktikan jika mereka diberi peluang untuk melakukan persiapan dengan lebih baik seperti skuad futsal lelaki, mungkin mereka mampu hadiahkan keputusan yang lebih baik lagi, ia juga menunjukkan pasukan futsal wanita kita mempunyai kebolehan, kredibiliti dan kemampuan untuk bersaing dengan lebih baik.
Kualiti bukanlah sekadar bakat sahaja tetapi pengalaman bermain dengan banyak pasukan lain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kapten skuad futsal wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli yang lebih dikenali sebagai Intan Serah meluahkan dalam hantaran Instastory-nya bahawa mereka hanya sempat melakuan persiapan selama 10 hari untuk menghadapi Sukan SEA.
Dalam pada itu, Jammy berharap FAM akan lebih rajin untuk turun padang selepas ini dalam membangunkan futsal dan bola sepak wanita seperti yang dilakukan kepada lelaki.
Beliau yakin bahawa pilihan pemain akan menjadi lebih besar dan lebih banyak pemain berbakat mampu dilahirkan sekiranya perkara itu dipandang serius.
“Jika sebelum ni hanya wujudkan, selepas ini mungkin boleh lebih serius mencari, melatih dan beri peluang kepada pemain wanita untuk bertanding lebih banyak lagi kejohanan sama ada di dalam atau luar negara.”
Skuad futsal wanita negara mencatatkan dua kekalahan serta satu seri dalam saingan yang berlangsung secara liga sepusingan antara empat pasukan itu.
Malaysia tewas 4-0 kepada Thailand dalam perlawanan pertama, sebelum tunduk 4-1 kepada tuan rumah, Vietnam pada perlawanan seterusnya.
Kejayaan mengikat Myanmar 3-3 selepas ketinggalan 3-1 pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan anak buah Jamhuri Zainuddin membawa pulang pingat gangsa.