Tewas kepada Indonesia sangat pahit, PSM dan MSC perlu selesaikan segera kemelut dalaman

1,835

Harapan peminat sepak takraw tempatan untuk melihat negara meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara sepak takraw pada Sukan SEA 2021 tidak kesampaian selepas pasukan kebangsaan tewas 2-1 kepada Indonesia dalam aksi beregu lelaki.

Ia sekaligus meranapkan impian emas sulung negara dalam acara beregu lelaki.


Walaupun melebihi sasaran gangsa yang diletakkan kepada mereka, tewas kepada Indonesia adalah satu perkara yang tidak dapat diterima oleh peminat sepak takraw tempatan memandangkan sejarah antara kedua-dua negara itu.

Pemain negara juga dilihat menitiskan air mata selepas perlawanan tamat seolah-olah tidak dapat menahan keperitan kekalahan ‘mengejut’ ini.

Jurulatih pasukan negara, Abd Talib Ahmad mengakui kekalahan itu amat pahit untuk ditelan namun mengakui anak-anak buahnya sudah berjuang habis-habisan.

Pada kejohanan Sukan SEA kali ini, pasukan sepak takraw negara sekadar menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu perak dan dua gangsa dalam kategori lelaki, manakala hanya satu gangsa dalam kategori wanita.

Mereka telahpun mencapai sasaran itu dengan meraih tiga perak dan dua gangsa daripada gelanggang takraw.

Sebelum berangkat ke Hanoi, skuad negara dibelenggu dengan masalah dalaman melibatkan badan induk sukan berkenaan.

Skuad sepak takraw negara kali ini bertanding atas tiket Majlis Olimpik Malaysia (MOM) disebabkan kemelut antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan juga Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC).

MOM masih lagi mengiktiraf PSM sebagai ahli gabungan mereka yang sah manakala Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memberikan sokongan penuh kepada MSC selepas melucutkan keahlian PSM.

Walaupun pengurus pasukan sepak takraw lelaki negara, Mohd Muzhafar Hamdan sebelum ini mengakui bahawa persengkatan antara dua badan itu tidak menjejaskan persiapan skuad negara ke Vietnam, diharapkan kedua-dua pihak dapat menemui kata putus supaya dapat menumpukan kepada usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan sepak takraw Malaysia.