Khabar angin Akhyar Rashid ke Kedah tidak akan jadi kenyataan

18,187

Sebelum ini terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pasukan kebangsaan iaitu Akhyar Rashid akan dipinjamkan Kedah Darul Aman FC pada jendela perpindahan kedua ini.

Bagaimanapun kenyataan mengenai ‘tokong’ yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini nampaknya dengan jelas bahawa Akhyar tidak akan dipinjamkan ke pasukan Kedah.


Semuanya berlaku selepas Sanusi mengeluarkan kenyataan tidak mahu wujud ‘tokong’ dalam bola sepak tanah air, yang mana tidak lama kemudian JDT mengumumkan bahawa Syafiq Ahmad akan kembali menyertai pasukan itu selepas international break tanpa memberikan sebab mengapa kontrak pinjamannya selama semusim dipendekkan.

Sememangnya JDT mempunyai hak untuk memendekkan tempoh pemain yang dipinjamkan kepada pasukan lain tetapi tindakan drastik ini sedikit sebanyak memberi gambaran punca mereka berbuat demikian.

Ramai yang percaya keputusan itu dibuat berpunca daripada kenyataan dari Menteri Besar Kedah itu baru-baru ini walaupun Sanusi tidak menyebut mana-mana nama atau individu yang dimaksudkannya itu.

Selepas tempoh pinjaman Syafiq dipendekkan, Sanusi sekali lagi tampil membuat pendedahan terbaru mengenai individu tersebut.

Dalam pendedahan terbarunya, Sanusi berkata; “Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu. Kawan (ada pihak) nak pergi latih sana, kena tanya dia dulu.”

Malah beliau juga berkata individu tersebut akan pergi ke pasukan lain dan beri bonus sekiranya berjaya menewaskan Kedah.

Sanusi juga tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan segala ‘cerita’ berkaitan individu itu kerana baginya sukan bola sepak adalah sukan untuk semua orang.

Dalam pada itu, Sanusi menjelaskan bahawa pasukan Kedah tidak terkesan langsung dengan pemergian Syafiq kerana yakin pasukan Sang Kenari mampu lahirkan lebih ramai bakat baru pada masa akan datang.

Malah perkara itu sudah lama terbukti apabila Kedah sememangnya dikenali sebagai ‘kilang’ dalam melahirkan pemain bola sepak berkualiti negara.

Sementara itu, kenyataan terbaru Sanusi yang mahu mendedahkan individu tersebut turut mendapat perhatian pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang mendesak Sanusi mendedahkan nama dan ceritanya segala-galanya untuk bersama bukti dan fakta.

Berbalik kepada Syafiq dan Akhyar, walaupun berita mengenai Akhyar bakal kembali ke Darul Aman hanyalah sekadar khabar angin, tetapi jika ianya berlaku ia akan menjadi satu berita baik buat bekas pemain sayap Kedah itu untuk mendapatkan minit permainan.

Ini kerana berdasarkan statistik di transfermarket pada musim ini beliau baru sahaja membuat satu penampilan dengan tujuh minit permainan sahaja. Ia sesuatu yang amat tidak bagus untuk seseorang pemain kerana ia akan menjejaskan prestasi pemain apabila turun beraksi.

Situasi itu telah dibuktikan Syafiq yang sebelum ini yang jarang mendapat tempat dan minit permainan ketika bersama pasukannya.

Bimbang karier bola sepaknya akan ‘hilang’, beliau telah memohon pelepasan untuk dipinjamkan kepada Kedah dan ternyata Syafiq kembali mempamerkan aksi berkualiti termasuk mencetak nama sebagai penjaring gol.

Dengan situasi ketika ini nampaknya Syafiq akan kembali memanaskan bangku simpanan berikutan posisi penyerang didominasi oleh duo Bergson dan Fernando Forestieri ketika ini.