Kejayaan Son Heung-min akan buka ruang lebih besar untuk pemain Asia lain

739

Siapa sangka pemain dari Asia mampu mencipta sejarah di Liga Perdana Inggeris yang merupakan liga bola sepak nombor satu di dunia? Tetapi Son Heung-min telah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil sekiranya seseorang pemain itu bekerja keras.

Itulah yang berlaku apabila pengempur utama Tottenham Hotspur itu berjaya merangkul trofi Kasut Emas bersama penyerang dari Liverpool iaitu Mo Salah selepas kedua-dua mereka menjaringkan 23 gol untuk musim ini.


Son mengakui kejayaan beliau menjadi penjaring terbanyak liga pada musim ini tidak akan tercapai tanpa bantuan dan sokongan daripada rakan sepasukan.

Kejayaan pemain kebangsaan Korea Selatan ini juga telah membuktikan bahawa pemain dari Asia juga mampu setaraf dengan pemain dari Eropah.

Pemain bola sepak dari Asia lain patut berterima kasih kepada Son kerana kejayaannya secara tidak langsung akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pemain Asia lain untuk beraksi di liga utama dunia.

Tidak dapat dinafikan sejak liga bermula, gandingan Son dan Harry Kane menjadi antara duo penyerang paling berbisa dalam liga dan berdasarkan kejayaan itu kedua-dua bintang ini dijangka akan terus bergandingan pada musim hadapan sebagai pemusnah.

Son meraih kejayaan berganda kerana bukan beliau sahaja yang mendapat trofi Kasut Emas, tetapi pasukannya juga layak ke UEFA Champions League pada musim hadapan selepas mereka mengakhiri kempen 2021/22 dengan tempat ke-4.

Dalam perlawanan terakhir Tottenham, anak buah Antonio Conte berjaya membelasah pasukan tercorot liga, Norwich City 5-0 di tempat lawan.

Son memulakan karier bola sepak di Eropah pada 2008 bersama pasukan remaja Hamburger SV di Liga Jerman. Dua tahun kemudian iaitu 2010 beliau telah dinaikkan untuk bermain bersama pasukan Hamburger SV II sebelum diserap ke skuad utama pada tahun yang sama.

Pada tahun 2013, Son berhijrah ke Bayer Leverkusen yang mana sepanjang dua tahun bersama pasukan itu, Son memperlihatkan kehebatannya apabila menjaringkan 21 gol dalam 62 penampilan.

Kehebatan Son telah menarik minat Tottenham yang membelinya pada tahun 2015 dan beliau akan terus kekal di White Hart Lane sehingga 2025.

Sementara itu, kejayaan Son ini adalah kesinambungan daripada kejayaan seorang lagi pemain dari Korea Selatan yang pernah menggegarkan Liga Perdana Inggeris satu ketika dahulu iaitu Park Ji-sung yang pernah bermain bersama pasukan Manchester United selama tujuh tahun ketika di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.