Junior Eldstal buat persiapan sebulan awal sebelum dipanggil sertai Harimau Malaya

2,868

Pemain pertahanan kebangsaan Junior Eldstal mendedahkan bahawa beliau mengambil inisiatif sendiri dengan mengupah jurulatih persendirian untuk memastikan beliau pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialaminya pada tahun lalu.

Malah Junior juga menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk memberikan aksi yang terbaik sekiranya dipilih dalam senarai pendek 23 pemain oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon.


“Sudah pasti boleh. Di Thailand saya bekerja dengan ahli fisioterapi kelab saya iaitu Chonburi FC dan saya juga buat latihan tambahan sendiri bersama jurulatih dari Australia.

Sebelum datang ke sini saya sudah buat persiapan selama sebulan bagi memastikan apabila saya datang ke sini saya sudah bersiap sedia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Junior lagi, sebelum beliau dipanggil untuk sertai kem latihan pusat Pan-gon telah menghubunginya menerusi aplikasi Zoom yang mana mereka berbincang selama dua jam termasuk rancangan ketua jurulatih dari Korea Selatan itu untuknya dalam pasukan.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai posisinya untuk skuad Harimau Malaya, pemain kacukan Malaysia-Sweden ini berkata beliau kini lebih selesa beraksi di bahagian pertahanan tengah.

“Dengan usia saya yang kini sudah 30an rasanya saya lebih sesuai bermain di posisi pertahanan kerana di Chonburi juga saya bermain di posisi yang mana. Walaupun di sana saya bermain dengan tiga pertahanan, tetapi saya selesa dan boleh memimpin barisan pertahanan.”

Sementara itu, Junior merasa skuad kebangsaan mempunyai kelebihan apabila beraksi pada dua perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 dan Kelayakan Piala Asia 2023 kerana bermain di halaman sendiri.

Jelasnya lagi, apabila di Stadium Nasional Bukit Jalil kelak mereka bukan mempunyai 11 pemain sahaja tetapi ada 12 pemain iaitu penyokong yang akan memberi sokongan padu kepada mereka.

Malaysia akan diuji dalam perlawanan persahabatan pertama menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun.