Yang hang gatai pi tokak cabai sapa suruh? Orang lain relek ja kulum lolipop sambil senyum – Sanusi
Setiap kali menjelang perlawanan membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pasti akan timbul pelbagai isu dan kontroversi antara kedua-dua pasukan ini.
Terbaru penyokong bola sepak tanah air kecoh di media sosial apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengeluarkan kenyataan ‘tokong’ yang mengawal dunia bola sepak Liga Malaysia.
Kenyataan itu nyata telah mencetuskan kemarahan segelintir penyokong dan pihak lain yang mengkritik kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang dikatakan membuat tuduhan tidak berasas dan cuba mengalihkan perhatian ramai daripada isu prestasi pasukan Kedah ketika ini.
Susulan dari kenyataan itu dikatakan menjadi penyebab pasukan JDT memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad dari pasukan Kedah yang dipinjamkan sebelum ini walaupun masih mempunyai baki enam bulan tempoh pinjaman.
Pelbagai pihak telah tampil memberi respon dan mengulas mengenai kenyataan oleh Sanusi itu yang meminta beliau tidak masuk campur dengan hal pasukan lain kerana pasukan sendiri pun terumbang-ambing ketika ini.
Tidak cukup kenyataan ‘tokong’, Sanusi tidak lama kemudian sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan bahawa individu yang dimaksudkan itu akan memberi bonus kepada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah, selain berkata ‘jangan sampai saya cerita semua’.
Isu ini turut mendapat perhatian pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang mencabar Sanusi untuk mendedahkan semua cerita berserta bukti dan fakta.
Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segala galanya. Ini cakap main sembuh badut Mc Donald pun boleh. Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Typical Politician. https://t.co/YZjNdUjWKt
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) May 23, 2022
TMJ turut menyelar tindakan Sanusi itu yang disifatkan sebagai ahli politik tipikal yang sering mencetuskan cerita sensasi untuk naikkan rating.
Sanusi bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai kenyataan TMJ itu kerana tidak mahu digelar ‘derhaka’.
Beliau kemudian berkata istilah ‘derhaka’ sepatutnya tidak boleh dibangkitkan jika ia membabitkan sukan bola sepak.
Tidak cukup dengan itu, malam semalam Sanusi di media sosial Facebook miliknya telah memuat naik gambar cili dengan kapsyen; ‘Yang hang gatai pi tokak cabai sapa suruh? Orang lain relek ja kulum lolipop sambil senyum sikit-sikit, nak gelak tak berani.’
Dalam kenyataan sinis tersebut Sanusi cuba memberitahu bahawa individu tersebut tidak perlu rasa terancam sekiranya kenyataan yang dibuatnya itu salah dan tidak berasas.
Ini kerana sehingga kini beliau tidak pernah langsung menyebut nama mana-mana pihak yang diperkatakannya itu walaupun ramai yang sudah boleh menjangka kepada siapa yang ditujukan.
Apa-apa pun kita tidak boleh membuat andaian sendiri kerana hanya tuan badan sahaja yang tahu.
Tetapi apa yang pasti nampaknya ‘perang’ psikologi ini dijangka akan berterusan dan akan menjadi semakin rancak menjelang hari perlawanan iaitu pada 19 Jun depan di Stadium Darul Aman.
Mungkin segelintir yang tidak senang dengan situasi yang berlaku ketika ini dan ada juga yang terhibur tetapi percaya atau tidak situasi seperti ini akan menjadi salah satu promosi yang mana ia dibuat untuk menghangatkan suasana sebelum hari perlawanan untuk mengajak semua penyokong ke stadium.