Presiden Korea Selatan ucap tahniah kepada Son – komitmen dan semangat kunci kejayaan
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol telah mengucapkan tahniah kepada bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, selepas pemain itu berjaya merangkul trofi Kasut Emas di Liga Perdana Inggeris baru-baru ini.
Beliau mengiktiraf kejayaan Son sebagai hasil daripada komitmen dan usaha yang telah dilakukan oleh Son sepanjang musim bersama dengan pasukannya.
Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook milik Yoon, beliau menggesa agar peminat bola sepak Korea Selatan untuk terus menyokong Son dan pasukan negaranya dalam saingan Piala Dunia November ini.
Beliau turut berkata bahawa kejayaan ini bukan sekadar kejayaan individu tetapi perlu diraikan oleh seluruh komuniti bola sepak Asia.
Kejayaan ini juga akan berjaya membuka mata peminat bola sepak di dunia tentang kemampuan sebenar bakat-bakat bola sepak yang semakin meningkat naik di sekitar Asia.
Son telah menunjukkan prestasi yang cukup memberansangkan sepanjang beraksi bersama Spurs.
Statistik dari transfermarkt telah menyaksikan beliau telah berjaya menjaringkan 131 gol daripada 325 penampilan sepanjang bersama pasukan tersebut.
Pencapaian Son ini dapat dijadikan sebagai sebuah inspirasi dan berkemungkinan besar di masa hadapan beliau dapat diangkat sebagai salah seorang pemimpin yang berpengaruh bukan sahaja di Korea Selatan tetapi di seluruh Asia.
Ia telah terbukti ramai daripada bekas atlet terkemuka dunia termasuk bekas pemain bola sepak telah menempa nama di arena politik dan sebagainya. Antara nama besar yang boleh dijadikan contoh adalah George Weah yang kini menjadi Presiden ke-25 Liberia.
Weah merupakan seorang legenda bola sepak yang cukup dikagumi. Era kegemilangan beliau bermula semasa bermain bersama PSG pada tahun 1992 sebelum berpindah ke AC Milan pada tahun 1995.
Kejayaan Weah bersama Milan bermula pada tahun 1995 membolehkan beliau dinobatkan sebagai pemain Afrika pertama yang memenangi Ballon d’Or pada tahun tersebut.
Beliau juga dinobatkan sebagai FIFA World Player of The Year dan Football European Footballer of the Year juga pada tahun yang sama.
Kini Son merupakan pemain terbaik di Asia dan tidak mustahil untuk beliau mencapai kejayaan yang lebih menakjubkan di masa hadapan serta berjaya untuk meletakkan dirinya untuk terus dikenang sebagai salah seorang berpengaruh bukan sahaja di dalam arena sukan, bahkan politik atau sebagainya.
Kesungguhan beliau untuk menempa nama serta pencapaian sepanjang kariernya mampu dijadikan contoh kepada para peminat bola sepak di serata dunia terutama sekali di Asia dalam membuktikan secara jelas bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dicapai di dalam hidup, ‘hendak seribu daya, tak nak seribu dalih’.