Pelumba negara pamer aksi positif di pusingan kedua Kejohanan Dunia FIM JuniorGP

113

Pusingan kedua FIM JuniorGP World Championship yang diadakan di Litar Ricardo Tormo, Valencia telah berlangsung pada 20-22 Mei yang lalu yang mana telah menyaksikan tiga pelumba negara mempamerkan aksi yang cukup positif.

Tiga pelumba muda negara iaitu Syarifuddin Azman dan Danial Syahmi beraksi bagi kategori JuniorGP manakala wakil tunggal negara dalam European Talent Cup, Hakim Danish.


Kejayaan manis berjaya dicapai oleh mereka apabila masing-masing berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 teratas sepanjang dua pusingan perlumbaan di litar tersebut.

Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok dalam kalangan peminat sukan permotoran yang mewakili pasukan SIC Racing beraksi cemerlang setelah berjaya mendapat tempat ke-7 pada perlumbaan pertama dan memperbaiki kedudukan di tempat keempat pada perlumbaan kedua, dengan catatan masa 30’37.313, hanya 0.615 saat di belakang pemenang perlumbaan tersebut, Jose Rueda dari pasukan Estrella Galicia.  

Keputusan ini meletakkan Damok berada di tempat kelapan keseluruhan dengan mengumpul sebanyak 22 mata selepas dua pusingan kejohanan. Rakan senegara dalam kategori yang sama, Danial Shahril dari Asia Talent Team berada di tempat ke-15 dengan kutipan sembilan mata keseluruhan.  

Dalam kategori yang berlainan, Hakim Danish dari SIC Racing juga beraksi cemerlang sepanjang dua perlumbaan.

Danish berjaya mendapat tempat kelapan pada perlumbaan pertama namun prestasinya sedikit merudum di perlumbaan kedua, menduduki tangga ke-12 selepas penyertaan Joel Esteban dari Aspar Team dibatalkan.

Dengan keputusan itu, Danish berjaya mengumpul 43 mata dan menduduki tangga keempat dengan perbezaan hanya dua mata dari Rico Salmela dari Team Estrella Galicia di tempat ketiga selepas dua pusingan Kejohanan Dunia FIM JuniorGP yang telah berlansung.

Mereka akan meneruskan perlumbaan seterusnya pada 12 Jun di Litar Catalunya. Diharap agar sejarah manis yang pernah dilakar oleh Syarifuddin Azman di litar tersebut pada saingan CEV Moto3 Remaja Dunia tahun lepas dapat diulangi oleh mereka.