Malaysia boleh cuba tanding acara takraw campuran – Zulkarnain Arif

508

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) akan menambah kategori baharu dalam sukan itu dengan memperkenalkan acara campuran pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand ke-35 Julai depan.

Menurut ISTAF, acara regu campuran akan melibatkan seorang pemain lelaki dan dua pemain wanita manakala jantina dua pemain simpanan acara itu bergantung kepada strategi jurulatih masing-masing.


Selain daripada regu campuran, ISTAF juga akan memperkenalkan acara quadrant dengan dua pemain lelaki dan dua pemain wanita dalam satu pasukan, serta dua pemain simpanan yang terdiri daripada kedua-dua jantina.

Kejohanan itu akan berlangsung di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai 2022.

Mengulas mengenai perkara itu, bekas feeder negara, Zulkarnain Arif berkata tidak salah jika negara mencuba untuk menghantar wakil walaupun sukan sepak takraw tidak begitu popular dalam kalangan wanita di negara ini.

Beliau berpendapat, budaya takraw dalam kalangan wanita di negara ini tidak begitu meluas dan bilangan pemain yang ada tidak ramai selain pembangunan akar umbi dari peringkat sekolah yang boleh dikatakan sebagai tidak wujud.

Beliau melihat Malaysia boleh bersaing dengan negara-negara lain seperti Indonesia dan Vietnam sekiranya berhasrat untuk bertanding dalam acara tersebut, namun masih belum mampu bersaing dengan Thailand kerana sepak takraw wanita di negara ini masih kurang sambutan.

“Kalau acara tersebut dipertandingkan mungkin kita boleh sama taraf dengan pasukan lain, tetapi Thailand kita letak tepi, sebab kita kekurangan pemain takraw wanita.

Tak salah untuk kita cuba masuk jika ia dipertandingkan nanti, sebab kita pun memang dah ada pasukan wanita,” katanya kepada Harimau Malaya.

Zulkarnain merupakan jurulatih bagi pasukan Putrajaya Cyborg yang bertanding di kejohanan Sepak Takraw League (STL).

Menurutnya selepas musim STL tamat, beliau kini menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Pembantu Belia dan Sukan Universiti Malaya.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen