Kedudukan penjaga gol utama masih terbuka – Khairulazhan

631

Penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid menegaskan bahawa posisi No.1 masih terbuka buat dirinya dan tiga rakan lain menjelang aksi persahabatan menentang Brunei 27 Mei ini.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan sudah melakukan yang terbaik dalam latihan dan meletakkan keputusan di tangan ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk memilih pemain yang sesuai mengawal gawang Harimau Malaya.


Selain pemain Selangor FC itu, Pan-gon turut memanggil penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias, Kalamullah Al-Hafiz (PJ City FC), dan Syihan Azmi (Negeri Sembilan FC) dalam senarai 29 pemain ke kem latihan pusat negara sebagai persiapan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023, serta dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1.

“Keputusan siapa yang akan bermain nanti masih belum tahu lagi tetapi kami sebagai pemain sudah berikan 100 peratus dalam latihan dan di situ jurulatih akan buat keputusan siapa yang akan main nanti.

Mungkin jurulatih nampak apa kelebihan yang ada pada saya, jadi saya serahkan segala-galanya kepada jurulatih. Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan ketika perlawanan nanti,” katanya.

Menurutnya, semua penjaga gol mempunyai kelebihan masing-masing dan percaya kepada kebijaksanaan jurulatih untuk menentukan pemain yang layak diturunkan.

Beliau juga berjanji akan memberikan 100 peratus buat pasukan sekiranya terpilih untuk mengemudi gawang negara.

Khairulazhan turut menyeru para penyokong untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan buat dirinya dan rakan-rakan.

Beliau mengakui pasukan negara akan turun dengan tekanan terutama selepas kegagalan skuad B-23 membawa pulang sebarang pingat dari bumi Vietnam pada Sukan SEA 2021 tempoh hari, tetapi percaya kelebihan beraksi di laman sendiri akan memberi manfaat buat mereka.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen