Gaji elit pemain runtuhkan industri bola sepak tanah air
Belum sempat pun pihak sebelah membalas kenyataan ‘Yang hang gatai pi tokak cabai sapa suruh’, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi melepaskan ‘tembakan’ baru dengan mendakwa gaji elit menjadi punca runtuhnya industri bola sepak tanah air.
“Setting gaji super elit itu menyebabkan banyak pasukan yang bersaing menghadapi masalah kewangan yang turut mengheret kerajaan negeri masing-masing dalam kancah kemelut gaji pemain bola sepak.
Hal inilah yang meruntuhkan industri bola sepak tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya. Sumbangan besar apa kepada siapa?”
Kenyataan yang dimuat naik di media sosial Facebook milik Sanusi itu ternyata tidak dapat disangkal lagi apabila melihat situasi bola sepak tanah air yang mana saban tahun isu membabitkan isu tunggakan gaji semakin meningkat.
Sebagai contoh selalunya isu tunggakan gaji akan timbul pada penghujung musim, kemudian melarat kepada pertengahan musim dan penghujung, tetapi kini saingan liga baru bermula sudah ada pasukan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji.
Ramai yang bersetuju bahawa gaji pemain bola sepak di Liga Malaysia ‘overpaid’ dan setaraf dengan kualiti liga yang masih jauh ketinggalan dari liga dari negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
Apa yang membuatkan pasukan-pasukan lebih parah apabila mereka berdepan kesukaran untuk mencari dana untuk menampung perbelanjaan pasukan berikutan negara baru pulih dari pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.
Dengan semua pasukan perlu diswastakan, ia telah menambahkan lagi beban pengurusan pasukan yang bukan sahaja perlu mencari pemilik baru tetapi juga bagaimanapun hendak menjana pendapatan pasukan.
Oleh itu, Sanusi berkata pihak pengurusan Kedah tidak akan sesekali mengikut jejak langkah pasukan kaya lain, sebaliknya akan berbelanja mengikut kemampuan mereka.
Dalam pada itu, Sanusi dalam kenyataannya juga turut menjawab dakwaan daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata dua pemain lagenda iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali berhijrah ke Sabah FC kerana tidak tahan dengan sikapnya sebaliknya gaji kedua-dua pemain itu terlalu tinggi.
Malah beliau berkata dengan gaji kedua-dua pemain itu dapat digunakan untuk membayar gaji lima pemain baru yang berkualiti.
Sanusi juga mendedahkan akibat hutang lama pasukan, kerajaan negeri sebelum ini terpaksa masuk campur untuk menyelesaikan segala hutang dan akhirnya berjaya berbuat demikian yang mana mereka dapat mengimbangi keperluan membantu rakyat miskin disamping membantu pasukan bola sepak.
Jelasnya lagi, pihak pengurusan pasukan Kedah tahu apa yang terbaik untuk mereka dan Sanusi secara sinis berkata ‘kamu jaga pasukan kamu, kami jaga pasukan kami, kita berentap di padang dengan pengadil yang adik dan saksama. Jangan tambah masa sampai 20 minit pulak sudah laaa..’.
Sebelum mengakhiri kenyataannya itu, beliau sempat lagi bertanya satu soalan iaitu ‘pendrive lama tu hang pi taroh tang mana?’.
Nampaknya ‘perang’ antara Sanusi dan TMJ menjadi semakin rancak dan menarik yang mana rata-rata penyokong tidak sabar menanti kenyataan balas.
Jika selalu ‘perang’ sebelum perlawanan adalah di antara penyokong, tetapi di Liga Malaysia berbeza apabila ‘perang’ tercetus di antara pemilik.
Kedua-dua pasukan Kedah dan JDT akan bertemu pada saingan Liga Super pada 19 Jun ini di Stadium Darul Aman.