Malaysia lebih tahu apa yang terbaik
Jurulatih pasukan Vietnam, Park Hang-seo telah membuat keputusan mengejut meninggalkan pasukan B-23 negara tersebut yang berada di bawah kendalian beliau semenjak 2017, walaupun membawa balik pingat emas untuk mereka di Sukan SEA Hanoi.
Berdasarkan statistik oleh ASEAN FOOTBALL, beliau berjaya meraih 32 kemenangan dari 48 perlawanan dengan 66.7% peratusan kemenangan sepanjang membimbing pasukan muda tersebut.
Hang-seo menjelaskan bahawa pilihan ini dibuat bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi dan mahu memberi sepenuh fokus terhadap persiapan skuad utama Vietnam menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2023.
Mengikut jejak langkah yang sama, jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Alexandre Polking turut mengumumkan pengunduran diri dari melatih skuad B-23 Thailand setelah gagal mencapai sasaran pingat emas yang diletakkan kepada skuadnya.
Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan yang diambil oleh pasukan bola sepak Malaysia selama ini untuk menggunakan khidmat jurulatih yang berbeza bagi setiap peringkat umur adalah tepat.
Pemberian tugasan khusus kepada Kim Pan-gon dan Brad Maloney sedikit sebanyak memperlihatkan impak yang lebih positif berdasarkan keputusan yang diraih sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan peningkatan prestasi bagi kedua-dua pasukan.
Meskipun terlalu awal untuk menilai kredibiliti Pan-gon, impak yang baik telah dapat dilihat menerusi keputusan yang dicapai oleh anak buah beliau semasa menyertai FAS Tri-Nations Series bersama Singapura dan Filipina pada Mac lalu.
Ujian sebenar pengendali dari Korea Selatan itu akan bermula pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula pada 8 Jun ini apabila diundi bersama Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.
Pada masa yang sama, Maloney turut menyerlah bersama pasukan B-23 negara berdasarkan persembahan yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang temasya Sukan SEA baru-baru ini.
Corak permainan bertahan yang diterapkan oleh Maloney tampak membuahkan hasil apabila pasukan muda negara mampu memberi saingan yang sengit kepada semua pasukan yang bertanding.
Lebih membanggakan, sebelum ini skuad B-23 negara di bawah kendaliannya juga telah berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-23 dengan rekod tanpa kalah dan tidak dibolosi sepanjang pusingan kelayakan.
Pertemuan antara Malaysia, Vietnam dan Thailand di Piala Asia B-23 yang akan bermula tidak lama lagi bakal menjadi medan pertempuran yang bagus dalam menguji kredibiliti dan falsafah setiap jurulatih.
Natijahnya, pendekatan yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekian lama adalah keputusan yang tepat dan mampu membantu jurulatih pasukan dalam memberi sepenuh fokus dalam pemilihan para pemain yang sesuai beraksi untuk pasukan.
Pada masa yang sama proses pemilihan yang lebih telus berdasarkan prestasi semasa akan dapat membantu pasukan negara bagi memastikan kualiti persembahan yang terbaik dapat diperagakan.
Diharap agar kejayaan demi kejayaan dapat diraih oleh kesemua skuad yang mewakili pasukan kebangsaan ke kejohanan akan datang.