Pemain Asia korban diskriminasi

3,068

Professional Footballers’ Association (PFA) telah mengeluarkan senarai pemain yang telah disenarai pendek sebagai calon pemenang anugerah Player of The Year untuk Liga Perdana Inggeris.

Senarai berikut turut disertai oleh Mohamed Salah selaku pemenang bersama Kasut Emas Liga Perdana tahun ini di samping perancang tengah pasukan Manchester City yang merupakan pemenang anugerah bagi edisi sebelum ini, Kevin De Bruyne yang sekali lagi membantu pasukannya menjuarai liga musim ini.


Persaingan yang sengit akan berlaku di antara Salah dan de Bruyne apabila masing-masing telah mempersembahkan kualiti permainan yang memberansangkan sepanjang kempen Liga Perdana Inggeris 2021/2022.

De Bruyne dilihat memiliki peluang cerah untuk sekali lagi memenangi anugerah ini apabila persembahan berkualiti beliau berjaya membantu pasukannya menjulang liga buat kali kelapan.

Apa yang menarik, seorang lagi pemenang bersama Kasut Emas, Son Heung-min, tidak tersenarai sebagai salah seorang calon bagi memenangi gelaran PFA Player of The Season.

Ini menimbulkan persoalan dari banyak pihak dan segelintir peminat bola sepak beranggapan bahawa situasi ini merupakan sebuah diskriminasi terhadap pemain Asia.

Perkara ini semakin jelas kelihatan apabila empat daripada enam pemain yang tersenarai merupakan pemain berdarah Inggeris.

Lagenda Liga Perdana Inggeris, Gary Neville telah memilih Son sebagai Player of The Season pilihannya dan turut berkongsi pendapat mengenai situasi ini menerusi podcast beliau.  

Beliau berkata, “Son berhak memperoleh sesuatu dari apa yang telah dia lakukan bersama Tottenham. Dia dihormati tetapi komitmen dan usaha beliau sering dibayangi oleh pemain lain seperti Harry Kane.”

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa kemampuan dan kehebatan Son sering dipandang remeh dan perkara ini mencerminkan sebuah budaya yang negatif di dalam bola sepak.

Berdasarkan prestasi semasa, dapat dilihat bahawa Son lebih layak berada di dalam senarai selain daripada kejayaan beliau mengejar jumlah jaringan dilakukan oleh Salah sehingga ke akhir pusingan liga.

Antara perkara yang hangat dibincangkan adalah kehadiran dua pemain muda iaitu Phil Foden dan Conor Gallagher di dalam senarai tersebut.

Hal ini kerana, sepanjang musim ini Foden hanya beraksi sebanyak 27 perlawanan keseluruhan dan cuma berjaya menjaringkan sembilan gol serta mempunyai jumlah bantuan jaringan sebanyak lima kali, lebih rendah daripada yang dilakukan oleh Son iaitu sebanyak tujuh kali.  

Kualiti prestasi yang ditunjukkan oleh Gallagher juga tampak sedikit rendah berbanding Son dengan hanya berjaya mengumpul tiga bantuan jaringan daripada 34 perlawanan bersama Crystal Palace musim ini di samping peluang besar jaringan sebanyak lime kali yang dihasilkan oleh beliau juga berada di bawah Son.

Pihak bertanggungjawab seperti PFA seharusnya lebih adil dalam menilai prestasi seseorang pemain tambahan pula untuk sesebuah anugerah yang berprestij seperti ini.

Ketelusan adalah kunci utama kepada kejayaan bukan sahaja untuk pasukan tetapi kepada individu itu sendiri di masa hadapan.