Tottenham Hotspur bertandang ke Korea Selatan
Para peminat bola sepak di segenap pelosok dunia sentiasa menantikan kemunculan pasukan Liga Perdana Inggeris kegemaran mereka untuk datang ke negara mereka.
Selepas hampir tiga tahun menentang pandemik dan segala larangan pergerakan, kini jelajah EPL kembali menemui peminat.
Kehadiran bintang-bintang terkemuka seperti Mo Salah, Cristiano Ronaldo, Son Heung-min, Harry Kane dan Kevin de Bruyne bakal menjadikan jelajah tahun ini lebih menarik.
Terdapat beberapa jadual dan lokasi perlawanan persahabatan di beberapa negara terpilih telah dikongsikan di media sosial dan daripada senarai tersebut, ada beberapa perlawanan yang menarik perhatian minat pencinta bola sepak dunia.
Salah satu daripadanya adalah pertemuan naib juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool yang akan menentang Manchester United di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 12 Julai.
Menurut ChiangraiTimes, Thailand mempunyai jumlah penyokong Liga Perdana Inggeris yang tinggi dan dijangka perkara ini akan mampu menyebabkan ramai penonton hadir untuk menyaksikan perlawanan di stadium ditambah dengan kehadiran pemain bintang kedua-dua pasukan seperti Mo Salah dan Cristiano Ronaldo.
Liverpool juga dijadual terbang ke Singapura untuk bertemu Crystal Palace tiga hari berikutnya manakala Manchester United akan bertandang ke Australia untuk bertemu Melbourne Victory dan Crystal Palace di Melbourne.
Dari keseluruhan jadual yang diumumkan, yang paling mencuri perhatian adalah pemilihan Tottenham Hotspur untuk beraksi di Korea Selatan, negara kelahiran Son Heung-min, penerima anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris bersama Salah bagi musim ini.
Pemilihan lokasi ini dilihat sebagai salah satu pilihan yang tepat bagi memastikan jumlah penyokong yang besar untuk datang dan membanjiri stadium di setiap perlawanan ditambah dengan kehadiran wira negara mereka sendiri, Son.
Spurs akan memulakan jelajah mereka di bumi Korea Selatan pada 13 Julai apabila dijadualkan akan bertemu sebuah pasukan dari liga Korea yang belum ditentukan lagi di Stadium Piala Dunia Seoul sebelum menentang Sevilla pada 16 Julai di stadium yang sama.
Terdapat beberapa pasukan EPL lain seperti Fulham, Newcastle dan West Ham yang belum mengesahkan pemilihan lokasi jelajah mereka.
Jelajah ini merupakan sebuah tradisi yang sering dilakukan untuk menyiapkan pasukan yang akan bertanding di musim baru serta mendekatkan para pemain dengan peminat mereka di serata dunia sebelum musim baru 2022/2023 yang akan bermula pada bulan Ogos 2022.
Liga Perdana Inggeris merupakan salah sebuah kejohanan utama di dunia yang mempunyai ramai peminat dari setiap penjuru dunia dan menurut footy.com, terdapat lebih kurang 3.2 billion penonton yang mengikuti siaran liga tersebut di peringkat global.