Azizulhasni Awang, Pandelela Rinong atlet paling layak diangkat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan
Debaran atlet manakah yang bakal merangkul anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2019/2020 pada 21 Disember ini semakin dirasai.
Dua atlet tersohor tanah air iaitu jaguh berbasikal trek Dato’ Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun Dato’ Pandelela Rinong merupakan antara calon popular tersenarai dalam Top 5.
Azizulhasni atau dikenali dengan gelaran ‘The Pocketrocketman’ akan bersaing dengan atlet bina badan Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah, Khairul Anuar Mohamad (Memanah), Timmy Tan (Tenpin Boling) dan Wong Weng Son (Wushu) untuk kategori Olahragawan.
Manakala Pandelela pula akan bersaing dengan Tan Cheong Min (Wushu), Siti Zalina Ahmad (Boling Padang), Sin Li Jane (Tenpin Boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (Gimnastik) untuk Olahragawati.
Berdasarkan senarai atlet-atlet yang tersenarai, Azizulhasni dan Pandelela adalah atlet yang dijangka akan merangkul anugerah Olahragawan dan Olahragawati pada tahun ini atas pencapaian mereka mencipta pelbagai kejayaan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Azizulhasni Awang
Dato’ Mohd Azizulhasni Awang mula mendapat perhatian dunia sukan basikal trek selepas beliau berjaya memenangi pingat emas acara keirin dan pecut 200m di Kejohanan Trek Asia pada 2008 sebelum memenangi kejuaraan lumba basikal dunia di Melbourne Australi pada 2009. Walaupun bertubuh kecil, namun sikap juang dan tidak putus asanya telah membuatkan dia diberi gelaran ‘The Pocketrocketman’.
Antara momen paling diingati oleh peminat sukan dunia adalah ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI (International Cycle Union) 2011 di England yang mana menyaksikan Azizul meneruskan kayuhannya walaupun betisnya tertusuk serpihan kayu dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Bagaimanapun pencapaian terbesar Azizulhasni adalah pada tahun 2017 apabila beliau berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI dan pingat gangsa di Sukan Olimpik 2016 di Brazil. Pada Februari lalu beliau terus mengharumkan nama negara apabila berjaya menduduki ranking nombor satu dunia dalam acara pecut individu.
Tahun lalu Azizulhasni sekali lagi melakar kejayaan apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Dengan kejayaan demi kejayaan diraih oleh ‘The Pocketrocketman’, tidak dapat disangkal lagi beliau adalah calon yang terbaik untuk diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan untuk edisi 2019/2020.
Pandelela Rinong
Dato’ Pandelela Rinong ialah seorang atlet acara terjun sensasi negara telah mencipta pelbagai kejayaan besar yang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sejak tahun 2009 lagi selepas berjaya merangkul dua pingat emas di Sukan Asia Tenggara menerusi 10m platform dan 10m platform berirama. Pada tahun 2010 Pandelela terus cemerlang di Sukan Komanwel di New Delhi apabila meraih pingat emas dan perak dalam acara kegemarannya.
Kejayaan di New Delhi membolehkan Pandelela dipilih menjadi wanita pertama Malaysia untuk membawa bendera di Upacara Pembukaan Sukan Olimpik 2012 di London. Beliau juga telah mencatat sejarah sebagai atlet wanita pertama memenangi pingat Olimpik iaitu pingat gangsa dalam acara terjun 10m platform dan atlet kedua negara memenangi pingat Olimpik 2012 selepas Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton.
Pandelela kemudian terus menampilkan aksi cemerlang apabila terus meraih pingat di pelbagai kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Dunia Akuatik, Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan terbaru Piala Dunia Terjun 2021 yang mana beliau meraih pingat emas.
Walaupun empat calon lain turut mempunyai pencapaian dan kejayaan masing-masing, namun jika dilihat dari segi prestasi semasa ternyata Pandelela adalah calon yang tepat untuk dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan 2019/2020.