Safawi Rasid mahu dapat teruskan momentum ACL bersama Harimau Malaya
Pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid mahu meneruskan momentum cemerlangnya di Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama pasukan kebangsaan pula apabila beliau tersenarai untuk menjalani kem latihan berpusat Harimau Malaya.
Walaupun sedar penyokong tanah air meletak harapan tinggi untuknya meneruskan kecemerlangan di JDT apabila beliau merupakan antara watak penting yang membantu JDT berjaya mara ke peringkat kalah mati dalam saingan AFC Champions League (ACL) baru-baru ini, ia langsung tidak terasa beban.
“Bagi saya tiada masalah, macam kami sudah membantu JDT layak ke pusingan kalah mati ACL jadi kami akan teruskan kecemerlangan bersama skuad kebangsaan. Tambahan pula kita bermain di tempat sendiri untuk Kelayakan Piala Asia 2023, jadi ia akan memberi kelebihan buat kita,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai peluangnya untuk beraksi dalam kesebelasan utama berikutan beliau perlu bersaing dengan rakan sepasukan Arif Aiman, Safawi optimis bahawa peluang untuknya sentiasa terbuka dan semuanya bergantung kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk membuat keputusan.
“Sekiranya saya terpilih saya akan membawa vibe permainan saya dan InsyaAllah saya akan buktikan yang saya boleh buat sesuatu untuk bantu pasukan kebangsaan.”
Pada musim ini pengendali JDT, Benjamin Mora dilihat sering menyenaraikan pemain muda berbakat besar Arif Aiman dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan dan akan memasukkan Safawi pada separuh masa kedua.
Kali terakhir Safawi beraksi bersama pasukan kebangsaan adalah pada tahun 2019 ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana ketika itu beliau berjaya menjaringkan dua gol ketika menentang Indonesia.
Sementara itu, pemain berusia 25 tahun itu juga yakin dengan kekuatan skuad kali ini apabila melihat keserasian di antara kesemua pemain dan ini merupakan momen yang paling tepat untuk skuad negara layak ke Piala Asia 2023.