Tak berani nak cakap saya lebih bagus dari Afro, banyak lagi perlu diperbaiki – Harith Haiqal

808

Tonggak pertahanan pasukan B-23 negara, Harith Haiqal tidak mahu terbuai dengan komen positif yang diberikan penyokong kepadanya dan mahu terus fokus memperbaiki permainannya menjelang aksi Piala Asia B-23 bulan depan.

Persembahan Harith pada kejohanan Sukan SEA 2021 mendapat pujian para penyokong sehingga ada yang membandingkannya dengan rakan sepasukannya di Selangor FC, Sharul Nazeem atau lebih dikenali sebagai Afro.


Harith akui bersyukur penyokong gembira dengan persembahan yang dipamerkannya, tetapi merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki olehnya.

“Alhamdulillah saya gembira dengan komen positif daripada para penyokong tapi bagi saya banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Nak cakap saya lebih bagus daripada Afro pun tak berani, itu semua adalah penilaian penyokong sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengenai persediaan ke Piala Asia B-23, Harith berkata, tempoh masa kira-kira seminggu ini akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan pasukan ketika di Hanoi.

Beliau juga menolak masalah komunikasi menjadi punca negara bolos lapan gol pada Sukan SEA, tetapi merasakan terdapat kesalahan dari sudut positioning yang dilakukan oleh barisan pertahanan.

Harith juga merasakan bahawa persefahaman yang dibentuk bersama rakan-rakan lain di bahagian pertahanan sejak dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan di Selangor FC memudahkan mereka untuk mewujudkan persefahaman atas padang.

Sementara itu, menurut Harith, walaupun Thailand dan Vietnam turut diundi dalam kumpulan sama dalam kejohanan yang akan berlangsung di Uzbekistan itu, corak permainan pasti berbeza kerana kedua-dua pasukan itu akan turun tanpa tiga pemain lebih umur.

Beliau juga sudah melupakan kekecewaan gagal membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa buat negara dan menyasarkan untuk melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan itu serta memberi saingan hebat kepada pasukan-pasukan besar Asia lain.

Selain Thailand dan Vietnam, Malaysia juga diundi bersama Korea Selatan dalam kumpulan C pada kejohanan Piala Asia B-23 yang akan bermula 1 Jun ini.