Brad Maloney sedia panggil Ramadhan Saifullah dan Hong Wan perkuat skuad B-23
Masih belum ada kata putus dari ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney tentang sebarang penambahan pemain bagi memperbaiki kekurangan yang terdapat di dalam skuad beliau.
Pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine telah menunjukkan persembahan yang baik pada sesi latihan sebelum ini dan berkemungkinan besar akan dipilih sebagai pelengkap bagi mengisi kekurangan yang terdapat dalam pasukan menjelang pusingan akhir Piala Asia B-23 nanti tetapi hal ini bergantung sepenuhnya kepada proses dalam menyelesaikan dokumentasi beliau.
Pada masa yang sama, ekoran dari kekangan masa yang semakin suntuk, kehadiran Kobe Jae Chong ke dalam pasukan mungkin tidak akan menjadi realiti buat masa ini kerana proses dokumentasi beliau yang memakan masa yang panjang.
Pengendali dari Australia itu juga berkata bahawa pintu sentiasa terbuka dan beliau bersedia untuk memanggil pemain-pemain muda berbakat dalam negara seperti ‘duo’ JDT, Ramadhan Saifullah dan Hong Wan yang bersedia untuk memperagakan aksi terbaik mereka bersama pasukan.
Selain itu, Maloney juga percaya bahawa prestasi keseluruhan pasukan kendaliannya berada di tahap yang memuaskan dan tiada sebarang perubahan drastik pada mana-mana bahagian perlu dilakukan kecuali memperkemaskan semula kekurangan bagi mengelakkan kesilapan-kesilapan mudah yang berlaku di Sukan SEA Hanoi berulang kembali.
Dalam pada itu, beliau juga tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut apabila ditanya tentang pengunduran mengejutkan oleh jurulatih B-23 Vietnam dan Thailand, Park Hang-seo dan Alexandre Polking, tetapi tetap menjangkakan aksi bertenaga yang sama akan ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan ini dengan jurulatih yang berlainan.
Korea Selatan juga tidak akan menjadi lawan yang mudah tetapi Maloney percaya bahawa skuad B-23 negara akan mampu mara ke pusingan seterusnya.
Kali terakhir pasukan B-23 negara beraksi di pusingan akhir Piala Asia B-23 adalah pada tahun 2018 di China dan berjaya layak sehingga ke pusingan suku akhir sebelum tewas di tangan Korea Selatan.