Saya bukan pemain berkualiti, tapi untuk jadi pemain berkualiti saya perlu belajar dari kesilapan – Luqman Hakim

1,515

Pemain kebangsaan B-23 negara Luqman Hakim mengakui beliau masih lagi perlu banyak belajar untuk memperbaiki kualiti permainannya selepas skuad Harimau Muda gagal meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Hanoi baru-baru ini.

“Saya bukan pemain berkualiti, tapi untuk jadi pemain yang berkualiti saya perlu belajar dari kesilapan-kesilapan yang saya lakukan dalam perlawanan terdahulu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Luqman juga menyedari bahawa ramai penyokong yang melontarkan pelbagai komen mengenai aksi persembahannya ketika di Vietnam, namun pemain berusia 20 tahun ini tidak terkesan dengan komen-komen negatif kerana berkata penyokong ada hak untuk suarakan pendapatnya.


Bagaimanapun beliau mengambil komen-komen positif untuk dijadikan sebagai pembakar semangat untuknya mempamerkan aksi yang lebih baik setiap kali turun beraksi.

Dalam pada itu, ditanya adakah beliau dan rakan sepasukan akan berdepan sedikit kesukaran apabila bermain di Uzbekistan nanti, pemain di Liga Belgium, K.V. Kortrijk ini berkata cuaca bukanlah satu masalah buat mereka.

“Saya tahu cuaca di sana nanti sejuk tetapi ia bukanlah masalah kerana kami sudah biasa bermain di tempat sejuk. Saya rasa Uzbekistan tidaklah sejuk seperti di Mongolia jadi saya yakin kami akan dapat berikan aksi yang terbaik.”

Biarpun terkandas pada separuh akhir Sukan SEA di tangan Vietnam, Luqman berkata ia tidak mematahkan semangat beliau dan rakan sepasukan, malah mereka kini bersemangat dan tidak sabar untuk mengharungi saingan Piala Asia B-23.

Skuad kendalian Brad Maloney akan membuka tirai Kumpulan C menentang Korea Selatan pada 2 Jun, Thailand pada 5 Jun dan perlawanan terakhir menentang Vietnam pada 8 Jun.

Sementara itu, penyerang kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini berharap beliau dan rakan sepasukan dapat memberikan aksi yang mantap dan menyasarkan untuk layak ke peringkat suku akhir.