Saya harap kami akan dapat layak ke separuh akhir Piala AFC B-23 – Mukhairi Ajmal

722

Kapten pasukan kebangsaan B-23, Mukhairi Ajmal memberitahu bahawa beliau bersama rakan sepasukan berharap mampu melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada awal Jun ini.

“Selepas pulang dari Sukan SEA Hanoi, ketua jurulatih (Brad Maloney) ada beri cuti sehari untuk pemain berjumpa dengan keluarga dan ia telah menaikkan lagi semangat pemain.

Jadi ketika ini kami berada dalam keadaan yang baik untuk turun beraksi dan saya berharap kami dapat melepasi peringkat kumpulan dan layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir kerana saya yakin kami mampu melakukannya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain pertahanan Selangor FC ini mengakui kegagalan skuad kebangsaan di Sukan SEA adalah disebabkan oleh persiapan yang singkat, tetapi mereka telah menjadikan perlawanan di Hanoi sebagai latihan untuk mempersiapkan diri untuk Piala Asia B-23.


“Pada kejohanan Sukan SEA kita kekurangan masa jadi ia dijadikan sebagai latihan untuk persiapkan diri untuk kejohanan seterusnya (Piala Asia B-23). Saya yakin kami akan berikan aksi persembahan yang lebih baik selepas ini.”

Biarpun dilihat seperti terlampau kecewa selepas gagal meraih pingat gangsa di Sukan SEA, namun pemain berusia 20 tahun itu berkata moral beliau dan rakan sepasukan semakin baik dan bersemangat untuk turun beraksi pada saingan Piala Asia B-23 nanti.

Dalam pada itu, Mukhairi berkata mereka kini sedang memperbaiki segala kekurangan pasukan pada kejohanan terdahulu untuk memastikan mereka akan lebih ampuh apabila turun beraksi di Uzbekistan nanti.