Malaysia hadap laluan getir di Piala Asia B-23

1,983

Thailand telah memulakan perang psikologi menjelang pusingan akhir Piala Asia B-23 dengan menyenaraikan sepuluh pemain yang beraksi di luar negara untuk bersama mereka di Uzbekistan.

Sepuluh orang pemain yang telah dipanggil akan digunakan oleh pengendali baru yang menggantikan Alexandre Polking, Worrawoot Srimaka untuk mengisi kekurangan pasukan beliau seperti yang dapat dilihat semasa temasya Sukan SEA Hanoi berlangsung.


Salah satu nama yang menjadi tumpuan adalah pemain tengah mereka, Thanawat Suengchitthawon yang kini bersama Leicester City B-23 dan telah beraksi sebanyak 15 perlawanan di Liga Perdana 2 pada musim ini.

Selain Thanawat, pemain luar negara yang dipanggil termasuk Jonathan Khemdee, Nicholas Mickelson (Odense Boldklub, Denmark), Yannick Nussbaum (BSC Young Boys, Switzerland), Ben Davis (Oxford United, England), Channarong Promsrikaew (Union Adarve, Sepanyol), Chayapipat Supunpasuch (Estoril, Portugal), Achitpol Keereerom (FC Augsburg, Jerman), Marcel Sieghart (SC Olching, Jerman) dan Sittichok Paso (FC Ryukyu, Jepun).

Kehebatan Thailand turut dilengkapkan dengan kehadiran pemain-pemain muda berkualiti mereka yang kini beraksi bersama pasukan tempatan seperti Patrick Gustavsson yang menunjukkan aksi berkualiti bersama Chiangmai FC pada musim ini.

Pemain lain yang dipanggil yang juga merupakan tonggak kelab masing-masing di Liga Thai ialah Ekanit Panya (Chiangmai United), Kritsada Kaman (Chonburi), Airfan Doloh dan Suphanat Mueanta (Buriram United).

Pendedahan dan minit permainan yang lebih tinggi oleh rata-rata pemain Thailand mampu menjadi salah satu senjata utama pasukan mereka dalam menghadapi kempen pusingan akhir Piala Asia B-23.

Faktor ini juga akan menjadi antara halangan terbesar kepada skuad kendalian Brad Maloney dalam mendapatkan tiket mudah untuk layak ke pusingan seterusnya kerana rata-rata pemain yang dipilih oleh beliau tidak mempunyai minit permainan yang mencukupi.

Hal ini boleh menggusarkan kem Malaysia tetapi persembahan dan semangat yang ditunjukkan semasa pertemuan terakhir tempoh hari harus diteruskan.

Beralih kepada sebuah lagi musuh tradisi, Vietnam juga harus diberi lebih perhatian tatkala mereka akan beraksi di bawah kendalian jurulatih baharu, Gong Oh-kyun yang juga berasal dari Korea Selatan.

Vietnam akan bertandang ke Uzbekistan dengan falsafah permainan yang baru selepas Oh-kyun secara jelas menyatakan perubahan akan dilakukan beliau setelah mengambil tampuk kejurulatihan skuad B-23 Vietnam dari Park Hang-seo.

Dapat dilihat berdasarkan pertemuan sebelum ini di separuh akhir Sukan SEA Hanoi, pasukan Vietnam tampak lebih mendominasi perlawanan menerusi ancaman merbahaya yang diberikan namun anak-anak buah Maloney tetap berjaya menahan asakan sehingga ke masa tamabahan.

Malaysia menjangkakan sebuah persaingan yang lebih sukar kerana corak permainan yang akan digunakan oleh Oh-kyun masih belum dapat dikenalpasti dan perkara ini harus diberi perhatian oleh pasukan kejurulatihan negara dalam menyediakan strategi yang mampu mengekang asakan dan ancaman semasa perlawanan.

Laluan pasukan B-23 Malaysia kelihatan bertambah getir dengan adanya ancaman daripada gergasi Asia, Korea Selatan yang turut berada di dalam kumpulan yang sama.

Umum mengetahui Korea Selatan merupakan sebuah nama besar bola sepak Asia dan tidak mustahil untuk pasukan ini memberikan saingan yang cukup sengit pada kejohanan tersebut.

Meskipun begitu, skuad negara tetap mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menjadi antara pencabar terkuat di dalam kumpulan untuk terus mara ke pusingan seterusnya seperti yang pernah dilakukan pada edisi sebelum ini.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan seterusnya iaitu suku akhir.