Dunia bola sepak perlukan pengurus ‘kerek’ seperti Jose Mourinho

136

Kemenangan AS Roma pada perlawanan akhir UEFA Conference League berjaya menamatkan penantian trofi Giallorossi selama 14 tahun sejak Coppa Italia pada 2008.

Individu yang menjadi perhatian sudah tentunya pengurus mereka, Jose Mourinho yang baru sahaja menguruskan kelab itu selama satu musim.


Dengan kejayaan meraih kejuaraan julung kali itu, Mourinho bukan sahaja berjaya menambah koleksi trofi yang pernah dimenanginya, tetapi mencatat sejarah peribadi.

Kejayaan menundukkan Feyenoord 1-0 itu menjadikan beliau pengurus pertama yang memenangi kesemua kejuaran Eropah iaitu UEFA Champions League, Europa League dan Conference League.

Apa yang lebih mengagumkan ialah, Mourinho juga tidak pernah tewas dalam kesemua lima perlawanan peringkat akhir yang disertainya di pentas Eropah.

Dengan kejayaan itu, penyokong Roma semestinya semakin sayang kepada pengurus Portugal itu.

Perasaan mereka mungkin sama dengan apa yang dirasakan penyokong Manchester United pada musim pertama Mourinho menguruskan kelab itu pada musim 2016/2017.

Mourinho berjaya membawa tiga kejuaraan pada musim pertamanya iaitu Piala Komuniti, Piala EFL dan Europa League.

Namun beliau akhirnya disingkirkan oleh pihak pengurusan pada pertengahan musim ketiga kerana persembahan buruk pasukan dalam liga.

Pemecatan itu ternyata menggembirakan hati sebahagian penyokong Manchester United yang tidak gemar dengannya dan mahukan pengurus itu dibuang.

Trofi Europa League yang dimenangi Mourinho juga menjadi trofi terakhir yang dimenangi oleh United sehingga kini.

Mourinho pernah berkata bahawa antara pencapaian terbaiknya dalam karier adalah menamatkan saingan liga di tangga kedua bersama The Red Devils.

Dan selepas beberapa tahun ramai penyokong mereka akhirnya mula sedar dan bersetuju dengan kenyataan itu walaupun pahit untuk ditelan.

Tiga pengurus sudah dilantik selepas Mourinho dan semuanya gagal membawa walau satu trofi pun ke Old Trafford, dan pengurus yang baru dilantik, Erik ten Hag juga belum pasti mampu mencapai apa yang dilakukan Mourinho di kelab itu.

Kelantangan dan keberanian Mourinho mengeluarkan kenyataan pedas terhadap mana-mana pihak menyebabkan beliau antara pengurus yang paling dibenci dalam bola sepak, termasuk oleh penyokong sendiri.

Beliau juga sudah beberapa kali didenda ekoran mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai banyak perkara termasuk mutu pengadilan.

Selain itu, sikap ego dan keangkuhannya yang tinggi juga membuatkan ramai pihak yang menyampah dan membenci dirinya, tetapi dengan pelbagai kejayaan dan reputasi tinggi yang dimilikinya, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau ‘layak’ bersikap sedemikian.

Selain itu, taktikal bertahan ‘park the bus’nya yang dilabel sebagai anti-football oleh sesetengah pihak juga menyebabkannya tidak digemari oleh banyak pihak.

Namun, bagi penyokong kelab yang dikendalikannya, mereka boleh menutup sebelah mata dengan permainan tidak cantik yang ditunjukkan pasukan kerana tahu taktikal tersebut bakal membuahkan hasil.

Walaubagaimanapun, ramai juga yang suka akan karektor pengurus berusia 59 tahun itu.

Contohnya, ketika di Chelsea, Mourinho sering bertikam lidah dengan bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger dan perkara itu menjadi ‘hiburan’ buat penonton Liga Perdana Inggeris.

Kehebatan Mourinho sememangnya tidak dapat dinafikan kerana beliau merupakan serial winner dan ke mana-mana sahaja beliau pergi, trofi sentiasa mengikutinya.

Buktinya, sejak memulakan kariernya sebagai pengurus 22 tahun lalu, beliau telah memenangi 26 trofi, satu pencapaian yang tidak ramai pengurus boleh banggakan.

Sejak meninggalkan Uniao de Leiria, beliau berjaya memenangi trofi di setiap kelab yang diuruskannya, dan hanya gagal membawa trofi ketika di Tottenham Hotspur, di mana beliau dipecat beberapa hari sebelum perlawanan akhir Piala EFL.

Suka atau tidak, bola sepak sememangnya memerlukan individu dengan karektor seperti Mourinho untuk merancakkan lagi industri. Liga Malaysia juga pastinya akan lebih meriah sekiranya wujud seseorang sepertinya.